Malaysia Dateline

PN usah terlalu berpolitik, cari penyelesaian tangani masalah rakyat hilang pendapatan

Kerajaan digesa supaya memberi perhatian yang amat serius terhadap golongan bawahan dan marhaen, khususnya dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak berkesudahan ini.

Malah, kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) diminta supaya segera turun padang, menjenguk rakyat yang hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Timbalan Pengerusi, Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang (Teras), Abdullah Mohd Nor berkata demikian ketika ditemui Malaysia Dateline.

Jelasnya, pelaksanaan PKP yang berlarutan tanpa adanya solusi konkrit menyebabkan majoriti rakyat terkesan setelah hilang sumber pendapatan.

Pelbagai peraturan, syarat dan kekangan yang ditetapkan menyebabkan banyak golongan bawahan seperti peniaga kecil-kecilan turut terjejas.

“Cubalah turun padang sepertimana yang dibuat oleh pendakwah bebas Ustaz Ebit Liew meredah hutan, bendang, sungai dengan pelbagai kaedah, pasti akan ketemu golongan yang melarat sedang menanti dengan harapan yang menggunung.

“Berapa ramai yang dah hilang pekerjaan, kilang dan hotel di Pulau Pinang. Ada yang sudah membuat pengumuman akan menghentikan operasi mereka bulan Februari dan Mac akan datang.

“Walhal, tiada peluang atau alternatif disediakan kerajaan bagi memastikan golongan tersebut dapat terus hidup tanpa beban yang berat,” tegasnya.

Abdullah berpendapat keadaan dibimbangi semakin buruk sekiranya PKP diteruskan dengan pelbagai kekangan sehinggakan pelabur mencari negara lain untuk membuat pelaburan.

“Ini sudah tentunya memberi kesan besar apakala kadar pengangguran sedia ada mencambah,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak berkuasa supaya mengurangkan sentimen politik termasuk mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah kehilangan pekerjaan dan pengangguran termasuk golongan lepasan universiti.