Malaysia Dateline

PN usah ugut, Ahli Parlimen BN pernah tolak belanjawan

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengingatkan hak ahli-ahli Parlimen untuk menolak atau menyokong sesuatu belanjawan tidak harus dinafikan.

Pasukan Peguam parti itu berkata, hak tersebut dijamin di sisi Perlembagaan dan Parlimen adalah pentas tertinggi perbahasan untuk seluruh ahli Parlimen menyuarakan suara rakyat jelata.

Dalam satu kenyataan hari ini, pasukan tersebut berkata pihak kerajaan dan ahli-ahli akademik perlu menghormati hak dan tugas-tugas keperlembagaan ahli-ahli Parlimen tanpa membuat ugutan yang tidak wajar.

“Kami melihat kenyataan tersebut berbaur ugutan dan tidak wajar untuk menakut-nakutkan penjawat awam, petugas-petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat.

“Menteri Kewangan kelihatan takut Belanjawan (2021) ditolak sehingga terpaksa membuat ancaman tidak langsung bagi memastikan belanjawan yang lemah diluluskan,” katanya.

Pasukan itu turut mengimbas keputusan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menolak Belanjawan 2019 dan 2020 yang dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas alasan kononnya mempunyai banyak kelompangan.

Justeru, penolakan belanjawan oleh ahli-ahli Parlimen, tegas pasukan peguam itu bukanlah hal yang baharu.

“Penolakan Belanjawan 2021 bukanlah penghalang kepada pembayaran gaji penjawat awam, namun boleh menjadi pencetus kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional.

“Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan membenarkan Kerajaan yang baharu yang menggantikan Perikatan Nasional untuk membentangkan Belanjawan yang baharu.

“Untuk rekod, Belanjawan 2000 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober 1999.

“Namun, sebelum ia diluluskan, Dewan Rakyat telah dibubarkan pada 11 November 1999 untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-10,” katanya.

Bagi menguruskan perbelanjaan kerajaan sementara menunggu kelulusan Belanjawan 2000, jelas pasukan itu, satu peruntukan sementara diluluskan Dewan Rakyat pada 20 Disember 1999 untuk antara lainnya membayar gaji penjawat awam.

“Belanjawan 2000 kemudiannya hanya dibentangkan semula pada 29 Februari 2000 oleh kerajaan baharu yang ditubuh selepas PRU ke-10 tersebut,” kata pasukan peguam parti yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Sehubungan itu, kumpulan pengamal undang-undang dari Pejuang menggesa agar pihak kerajaan Perikatan Nasional yang nasibnya tidak ketentuan berhenti berselindung di sebalik penjawat awam dan petugas-petugas barisan hadapan demi untuk kelangsungan politiknya.

“Ugutan-ugutan tidak wajar seperti ini yang tidak langsung berpaksikan undang-undang mesti dihentikan dengan serta merta,” tegas mereka lagi.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 14 November lalu dilapor berkata, gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan tidak akan dapat dibayar jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

Turut senada dengan Menteri Kewangan ialah ahli-ahli akademik antaranya, Dr. Muhammad Fathi Yusof dan Prof Dr. Shamrahayu Aziz.