Malaysia Dateline

PN yang bantah jual ladang Tabung Haji kini menjualnya

Bekas Exco Armada Nasional, Abu Hafiz Salleh Hudin mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah meneruskan penjualan ladang kelapa sawit milik Tabung Haji Plantations (THP).

Dia merujuk kepada satu surat bertarikh 24 November 2020 dari Unit Perancangan Ekonomi (EPU) yang telah meluluskan penjualan 6,513.80 hektar ladang kelapa sawit di Bintulu dan Sibu, Sarawak.

“(Ada) salinan surat kelulusan dan kebenaran Unit Perancangan Ekonomi (EPU), JPM bagi meneruskan penjualan 6,513.80 hektar ladang kelapa sawit di Bintulu dan Sibu, Sarawak yang menjadi pemilikan THP

“Keputusan menjual ladang ini semasa pentadbiran PH telah mendapat bantahan Pas dan Umno kerana ia ‘menjual harta umat Islam’,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Dia berkata, komponen parti dalam PN sendiri pernah membantah penjualan ladang tersebut semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selain pernah menganggap PH cuba menjual harta umat Islam.

Namun katanya, kerajaan yang berjanji akan menghalang penjualan harta umat Islam juga akhirnya meneruskan langkah menjual ladang THP.

“Di bawah pentadbiran kerajaan Melayu-Islam PN, Timbalan Menteri Agama dari Pas berjanji akan menghalang segala usaha penjualan ‘harta umat Islam’. Ia dizahirkan dalam Dewan Rakyat beberapa bulan yang lalu.

“Akhirnya, pada 24 November lalu, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) berpandukan fakta yang ada dan bukan sentimen politik agama-bangsa yang sengaja ingin dibakar bagi kepentingan kumpulan tertentu; membenarkan penjualan ladang ini.

“Kalau mengikut sifir perkauman sempit dan sentimen agama yang melampau orang Melayu-Islam di zaman PH dahulu, kerajaan PN juga membahayakan Melayu-Islam? (adakah) layak dijatuhkan seperti Langkah Sheraton?,” soalnya.