PNB, KWSP muktamadkan pengambilalihan aset komersial stesen janakuasa Battersea

PNB, KWSP muktamadkan pengambilalihan aset komersial stesen janakuasa Battersea

Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memuktamadkan pengambilalihan mereka ke atas aset komersial Stesen Janakuasa Battersea daripada penjual S P Setia Bhd dan Sime Darby Property Bhd selepas selesainya penyusunan semula pemilikannya.

Dalam kenyataan hari ini, S P Setia Bhd berkata aset komersial yang diambil alih oleh PNB dan KWSP bernilai £1.58 juta (RM8.51 bilion) dengan masing-masing memiliki 65 peratus dan 35 peratus.

Bangunan Stesen Janakuasa di kawasan seluas kira-kira 2.43 hektar daripada keseluruhan 16.99 hektar kawasan penjanaan dianggap sebagai teras projek itu.

“Ketika ini ia sedang dibaik pulih dan akan, sebaik sahaja siap yang dijadual pada akhir 2020, akan menempatkan ratusan kedai, restoran, kafe, ruang acara dan panggung wayang serta kawasan kediaman baharu, kampus Apple, London dan kelab ahli perniagaan No 18,” katanya.

PNB dan KWSP sudah memiliki 70 peratus daripada keseluruhan pembangunan Stesen Janakuasa Battersea menerusi pegangan mereka dalam syarikat pemaju asal dan bagi KWSP menerusi pegangan langsung sebanyak 20 peratus.

Transaksi itu tidak menjejaskan pegangan saham dalam Battersea Project Holding Company Ltd, yang kekal tidak berubah antara S P Setia (40 peratus), Sime Darby Property (40 peratus) dan KWSP (20 peratus).

Sementara itu, Battersea Development Company yang berpangkalan di United Kingdom dan anak syarikatnya akan meneruskan peranan sebagai pengurus pembangunan, estet dan aset bagi semua fasa keseluruhan pembangunan itu.

— BERNAMA