Malaysia Dateline

Pok Din dikompaun RM1,500 ketika ‘flash mob’ bantah harga barang naik

Seorang aktivis AMANAH Baharuddin Abdul Hamid telah dikompaun RM1,500 kerana memakai pelitup muka tidak sempurna sewaktu mengadakan ‘flash mob’ bagi membantah kenaikan harga barang minggu lepas.

Aktivis AMANAH Dungun itu yang mesra dikenali sebagai Pok Din berkata beliau turut bersama dalam program itu di Kuala Terengganu bagi memperjuangkan hak-hak rakyat bagaimanapun dikenakan tindakan oleh pihak polis.

“Saya bukan tidak pakai ‘mask’ saya pakai tetapi saya disaman dan dituduh bersalah walaupun saya merasakan saya tidak bersalah kerana membela rakyat ketika barang naik.

“Saya dikenakan kompaun RM1,500 kerana saya membela rakyat, saya tidak mampu lagi membela rakyat melainkan turun bersama masyarakat,” katanya dalam satu sedutan video yang dikongsi Facebook Pemuda AMANAH Terengganu.

Pok Din mengikuti program itu bersama Pengerusi AMANAH Terengganu Raja Bahrin Shah  di Kuala Terengganu, ‘flash mob’ diadakan serentak diseluruh negara anjuran Biro Mobilisasi AMANAH Nasional.

Dalam pada itu, Pemuda AMANAH Terengganu turut mempersoalkan SOP tidak memakai pelitup muka serta tiadak penjarakan sosial ketika para penonton menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini.

“Pada masa yang sama, penonton final Piala Malaysia elok tak pakai face mask dan jarak duduk rapat-rapat.

Apa sudah jadi dengan Malaysia?

“Kenapa ada double standard?

“Khairy Jamaluddin boleh jawab?” soal Pemuda AMANAH.