Malaysia Dateline

Polemik hubungan dengan Tun Mahathir, ini jawapan Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu lagi polemik “permusuhan” atau “hubungan pasang-surut” antara beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad diteruskan, sebaliknya semua pihak perlu menerima hakikat bahawa rakyat sudah memberi mandat kepadanya untuk menerajui kerajaan.

Tanpa menyatakan secara khusus mengenai status hubungannya dengan Tun Dr Mahathir, Anwar berkata  tumpuan beliau ketika ini adalah melaksanakan tugasnya sebagai Perdana Menteri dan enggan melayani “kerenah” atau “celoteh” yang tidak relevan daripada negarawan itu.

“Belum ada apa-apa hubungan (situasi terkini) antara saya dengan beliau…saya pun hanya tumpu pada kerja saya (sebagai Perdana Menteri) dan saya tidak sangat melayani kerenah atau celoteh dia yang saya fikir tak begitu relevan.

Rakyat sudah memilih dan kita diberi mandat untuk menjalankan kerja, saya tumpukan ke arah itu…tapi saya juga tidak mahu ini dianggap permusuhan (dengan Tun Dr Mahathir) berterusan…tidak perlulah,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan temu bual televisyen Indonesia, Nation Hub: Special Interview Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan di saluran CNBC Indonesia TV, hari ini.

Anwar berkata demikian sebagai menjawab persoalan mengenai hubungannya dengan Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh itu yang sering menjadi tumpuan dan polemik pelbagai pihak, khususnya selepas Ahli Parlimen Tambun itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov lepas.

Temu bual khas itu dirakam ketika lawatan rasmi Anwar ke Indonesia selama dua hari pada 8 dan 9 Jan lepas.

Sementara itu, ditanya mengenai suasana politik Malaysia, Anwar akui keadaan politik di negara ini berbeza dengan Indonesia dan beberapa negara lain kerana permusuhan politik Malaysia disifatkannya sebagai “terlalu tajam” yang mungkin disebabkan warisan cara kepimpinan Tun Dr Mahathir.

“Siapa yang tidak mendukungnya (Tun Dr Mahathir) dianggap musuh…dan situasi ini (permusuhan politik yang tajam) berkembang sehingga kini.

Tapi sekurang-kurangkan kita (Kerajaan Perpaduan) cepat bertindak (ubah kepada cara baharu) dengan memikirkan soal negara, masa depan dan kestabilan politik hingga berjaya membentuk pergabungan dengan pendirian tatakelola baik dan menolak korupsi dan prinsip ini telah disepakati.

Saya harap pembangkang kita (di Malaysia) juga tidak terlalu mempertajamkan (permusuhan) dan saya juga minta mereka hindari daripada mengeluarkan kenyataan yang menghukum dan mengkafirkan orang…jika ini dapat diringankan, kita boleh berdialog dengan lebih baik,” katanya.

Selain itu, dalam soal kritikan rakyat terhadap kerajaan khususnya golongan muda, Anwar berkata rakyat tidak boleh dipersalahkan sebaliknya ia adalah cabaran kepada kerajaan kerana rakyat sentiasa menilai prestasi Kabinet pimpinannya.

Bagaimanapun tegas Perdana Menteri, “ketajaman politik” sehingga mengkafirkan orang lain harus dibendung dan malah jika terdapat anak muda yang cenderung dengan ekstremisme juga perlu dibendung  dengan sifat kasih sayang.

“Misalnya, saya lihat nada anak muda juga pada masa sekarang dengan bulan lalu, sangat berbeza… ertinya mereka mengamalkan sikap terbuka dan tidak terkongkong dengan pemikiran yang jumud atau konservatif dan mereka juga menilai kita,” katanya.

— BERNAMA

Baca juga : “Pak Anwar begitu cerdas”- Berucap di Indonesia, Anwar Ibrahim tuai pujian rakyat negara seberang