Polemik larangan merokok di restoran

Polemik larangan merokok di restoran

Isu larangan merokok di tempat awam khususnya di restoran dan kedai makanan telah menimbulkan perbahasan pro dan kontra yang agak menarik.

Nampaknya, sementara kerajaan mahu melarang sama sekali amalan merokok di kedai makan atau restoran, pihak pengusaha kedai makanan dan restoran termasuk para perokok sendiri tidak menyetujuinya.

Dasar melarang merokok di restoran dan kedai makanan juga di tempat awam lain seperti bangunan-bangunan kerajaan, sekolah, universiti dan sebagainya sudah lama diperkenalkan dengan cuma penguatkuasaannya dilihat tidak menyeluruh.

Peraturan khusus di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2008 sudah pun menyatakan dengan jelas akan laranagn tersebut.

Kini kita sedang bercakap tentang Malaysia Baru yang sudah tentu membawa pengertian baru kepada urus tadbir negara dan perubahan sosial yang besar dalam kalangan rakyat di mana cara kerja lama dan juga amalan-amalan lama tidak lagi boleh dipertahankan.

Dalam era Malaysia Baru ini perlu ada paradigma baru dalam melihat setiap yang hendak dilakukan dengan menjadikan urus tadbir baik (good governance) sebagai asasnya.

Dan dalam Malaysia Baru ini juga rakyat juga perlu berubah dengan meninggalkan perkara-perkara yang selama ini diterima begitu sahaja sedangkan ia menjadi penghalang kepada kemajuan rakyat dan negara ke arah menjadi negara maju.

Dengan itu para pengusaha kedai makanan dan perokok juga tidak boleh mengambil sikap tidak peduli dengan perubahan yang perlu dilalui.

Ada pula yang berpandangan bahawa menteri kesihatan sepatutnya memberi fokus kepada masalah-masalah yang lebih besar berkaitan khidmat kesihatan negara.

Pada mereka masalah kekurangan pusat kesihatan, hospital, kekurangan prasarana berkaitan khidmat kesihatan termasuk kakitangan adalah jauh lebih besar daripada isu melarang merokok di restoran dan kedai makanan.

Saya kira mereka yang cuba mengelak daripada menangani isu ini sebenarnya tidak melihatnya daripada perspektifnya yang sebenar.

Adalah salah kalau masalah merokok di tempat awam diletak sebagai masalah yang tidak perlu diutamakan dalam masyarakat dan negara. Walaupun kita boleh menerima bahawa prasarana kesihatan memerlukan penambahbaikan,

Cuma jika diteliti, akan nyata betapa larangan merokok di kedai makanan ini mempunyai kaitan dengan isu kekurangan prasarana kesihatan itu sendiri.

Persoalan paling asas ialah apakah kedai makanan itu tempat untuk makan dan minum (eatery) atau tempat untuk merokok (smokery)? Kenapa perlu pergi ke kedai makan untuk merokok?

Kalau dihujah bahawa merokok adalah amalan sampingan yang menjadi kebiasaan perokok selepas makan, ia bermakna kedai makanan adalah pada keutamaannya tempat untuk makan dan bukan tempat untuk merokok.

Dengan itu hak mereka yang pergi makan di kedai makanan semestinya diutamakan, tidak kira mereka itu bukan perokok atau perokok.

Dalam membicarakan persoalan ini, mereka yang cuba memperkecilkan usaha kerajaan ini mengungkitkan keperluan membina hospital baru dan prasarana kesihatan lain yang mencukupi daripada sibuk dengan larangan merokok di kedai makanan.

Cuma mereka lupa bahawa semua itu memerlukan wang yang banyak. Mereka perlu diberitahu bahawa jika penyakit-penyakit yang terhasil daripada asap “second hand” (daripada perokok) tidak lagi menjadi masalah dan beban kewangan kepada kerjaaan untuk merawatnya kemungkinan wang yang dapat dijimatkan itu boleh disalurkan kepada penyediaan prasarana yang dimaksudkan itu.

Satu laporan dalam The Star pada 24 Jun 2014 menyatakan bahawa kerajaan membelanjakan RM3 bilion setahun untuk merawat pelbagai jenis penyakit yang berpunca daripada asap rokok dan amalan merokok. Antara penyakit tersebut ialah penyakit koronari jantung, barah paru-paru dan penyakit paru-paru.

Terdapat laporan juga daripada badan-badan antarabangsa bahawa bayi yang terdedah kepada asap rokok berisiko menghidap penyakit Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) yang membawa kepada kematian bayi tersebut.

Masih lagikah ada individu atau kumpulan yang mahu mempertahankan hak merokok di tempat awam yang terhad seperti restoran atau kedai makanan?

Hak perokok tidak dinafikan kerana mereka tetap boleh merokok. Mereka juga mempunyai peranan dalam membina Malaysia yang baru ini.

Cuma mereka perlu mencari tempat selain daripada kawasan kedai makanan dan restoran yang juga dikunjungi oleh mereka yang tidak merokok. Tak perlu tukar eatery menjadi smokery.