Polemik Peguam Negara: Satu penelitian Perlembagaan

Polemik Peguam Negara: Satu penelitian Perlembagaan

Polemik yang melanda negara berkaitan langkah kerajaan baru Malaysia menamakan Sir Tommy Thomas, seorang peguam bukan Islam-Melayu sebagai Peguam Negara yang baharu.

Perkara ini seharusnya ditanggapi secara berhemah berlandaskan prinsip keluhuran perlembagaan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai the supreme law of the land melalui peruntukan Perkara 4 (1).

Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan hal berkaitan perlantikan, peranan serta bidang kuasa Peguam Negara.

Perkara 145(1) memperuntukkan kuasa Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), atas nasihat Perdana Menteri untuk melantik seorang individu yang berkelayakan untuk menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara.

Isu mungkin timbul berkaitan bidang kuasa eksekutif YDPA dalam perkara ini. Perkara 40(1) menyatakan antara lain YDPA harus menjalankan fungsi di bawah Perlembagaan mengikut nasihat Kabinet kecuali dalam perkara “discretionary power” atau mengikut bicara Tuanku YDPA secara mutlak sebagaimana termaktub dalam perkara 40(2) iaitu dalam isu pelantikan Perdana Menteri, perkenan bagi pembubaran parlimen dan hal ehwal berkaitan keistimewaan Majlis Raja-raja Melayu.

Secara jelas dinyatakan, YDPA harus bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dalam isu perlantikan Peguam negara sebagaimana diputuskan dalam Madhavan Nair lwn Kerajaan Malaysia bahawa YDPA harus bertindak mengikut nasihat kabinet dalam hal ehwal eksekutif.

Perkara 145 ini juga jelas menunjukkan syarat kelayakan utama menjadi Peguam Negara mestilah seseorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan.

Kelayakan menjadi hakim Mahkamah Persekutuan telah digariskan dalam Perkara 123 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan seseorang itu mesti seorang warganegara dam telah mempunyai pengalaman 10 tahun berkhidmat sebagai peguam bela mana-mana Mahkamah Tinggi atau mempunyai perkhidmatan kehakiman dan perundangan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.

Saya berpandangan peruntukan Perkara 123 dalam isu kelayakan perlantikan Hakim Mahkamah Persekutuan turut terpakai dalam isu perlantikan Peguam Negara dalam Perkara 145.

Kedua-dua peruntukkan ini secara jelas meletakkan syarat utama haruslah dilihat daripada latar belakang serta pengalaman dalam bidang kehakiman dan perundangan dan kepakaran dalam perkara berkaitan undang-undang bukan berkaitan latar belakang bangsa mahupun agama.

Kepakaran dan pengalaman seseorang itu penting bagi memastikan individu yang dipilih dapat memainkan peranan bagi menasihati YDPA, jemaah Menteri dan Menteri-menteri dalam soal undang-undang dan perlembagaan.

Perkara 145 dapat difahami secara ringkas peranan seorang Peguam Negara meliputi rujukan utama kerajaan dalam perkara undang-undang, selain merupakan pendakwa raya serta diberikan kuasa bagi memulakan, menjalankan atau menghentikan prosiding berkaitan jenayah.

Kuasa Peguam Negara telah dibataskan untuk terlibat secara langsung dalam mana-mana prosiding di Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak atau Mahkamah Tentera melalui Perkara 145(3).

Justeru, bidang kuasa Peguam Negara telah dibatasi dengan peruntukan Perlembagaan terutama dalam hal ehwal Islam dan Mahkamah Syariah yang kononnya dibimbangi bakal tergugat dengan perlantikan orang bukan Islam-Melayu sebagai Peguam Negara.

Kuasa Peguam Negara hanya terhad dalam soal berkaitan eksekutif tidak meliputi soal legislatif yang jelas terletak di bawah kuasa Parlimen serta tidak ada kuasa yang boleh mengancam serta menggangu-gugat keistimewaan orang Islam dan Melayu.

Ini kerana, peruntukan berkaitan Islam telah dilindungi secara jelas sebagaimana termaktub dalam pelbagai peruntukan seperti Perkara 3, Perkara 11 dan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Dapatlah disimpulkan peranan peguam negara sebagai individu penting kepada kerajaan dalam hal ehwal berkaitan undang seharusnya dilihat kepada faktor pengalaman, kepintaran berhujah serta pengetahuan mendalam dalam perundangan.

Berdasarkan rekod sejarah, terdapat dua orang bukan Islam-Melayu yang pernah menjawat jawatan sebagai Peguam Negara iaitu Sir Thomas Vernor (1955-1959) dan Sir Cecil M. Sheridan (1959-1963). Kemudian, semua Peguam Negara terdiri daripada individu berlatar belakang Islam-Melayu sehinggalah pada pemangku Peguam Negara yan terkini.

Rakyat Malaysia diseru menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenan perlantikan Sir Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baharu.

Polemik serta konflik perkauman seharusnya dihentikan serta-merta. Faktor kaum mahupun agamanya seharusnya tidak dijadikan polemik berpanjangan sebaliknya kita sebagai rakyat Malaysia harus mulai mengetepikan perbezaan agama, kaum dan latar belakang seterusnya bersama-sama membina Malaysia yang lebih baik berteraskan atas prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

*Penulis adalah mahasiswa  tahun 2 di Fakulti Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM dan Exco Penerangan & Penyelidikan P ersatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

CATEGORIES