Malaysia Dateline

Policy Talk: Kajisemula perjanjian Sabah-Sarawak, Umno bukan penentu kuasa Melayu

Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan Sabah dan Sarawak harus mengkaji semula perjanjian dengan Malaysia untuk menuntut lebih banyak kuasa bagi menentukan pembangunan di dua negeri itu.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi, sejak penubuhan Malaysia rundingan antara negeri Sabah dan Sarawak adalah sama sebagaimana negeri-negeri lain di Semenanjung.

Bagaimanapun kesaksamaan itu tidak berlaku sepanjang pemerintahan Barisan Nasional (BN) di dua negeri itu.

“Saya dapati apabila kita pusatkan pentadbiran negara di Kuala Lumpur kadangkala Semenanjung tidak beri perhatian mencukupi kepada Sabah dan Sarawak.

“Penubuhan Malaysia kita runding Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Tetapi apabila tertubuh Malaysia kita anggap Sabah dan Sarawak bukan sebahagian, sedangkan sepatutnya sebagai satu negeri yang sama macam negeri-negeri di Semenanjung.

“Tumpuan di Sabah dan Sarawak tidak kuat daripada kerajaan pusat.

“Kajisemula perjanjian dengan mereka untuk beri lebih banyak kuasa untuk tentukan pembangunan di Sabah dan Sarawak meningkat.

“Kerajaan pusat perlu beri perhatian lebih kepada penduduk Sabah dan Sarawak terutama kepada yang miskin,” ujarnya ketika menjawab soalan rakyat dalam Policy Talk: Harapan Baru  minggu ketiga yang bertajuk: Melayu  dan Bumiputera.

Justeru katanya lagi, sekiranya Pakatan Harapan diberikan kuasa memerintah Malaysia, beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada mengurangkan kemiskinan di Sabah dan Sarawak.

“Kita beri tumpuan pada Sabah dan Sarawak kurangkan kemiskinan sama taraf di Semenanjung,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau juga berkata, rakyat perlu memilih pemimpin yang terbaik dalam kerajaan yang tidak dikaitkan dengan pelbagai skandal kewangan dan korupsi.

“Saya yakin selagi pemerintahan kini ada (BN) dan kita telah desak supaya pemerintahan sedia ada betulkan cara mereka,  tetapi mereka tidak mahu.

“Hanya ada satu cara yang tinggal kita tukar kerajaan,” katanya.

Menjawab keluhan rakyat yang mempersoalkan ketakutan Umno bahawa Melayu akan hilang kuasa politik jika beralih pemerintahan sedangkan pada masa sama pelaburan asing dilihat akan menjejaskan masa depan rakyat negara ini.

Dr Mahathir menjelaskan, hari ini orang Melayu dari segi peranan dalam kerajaan masih dilihat berkuasa, namun apa yang berlaku ujarnya, orang yang berkuasa pula telah menyalah gunakan kuasa.

“Kuasa mesti digunakan dengan cara yang baik mengikut undang-undang dengan cara tertentu.

“Jika kuasa Melayu digunakan untuk menghilangkan duit perlukah kita kekalkan kuasa Melayu?

“Pemerintah hari ini, dunia tuduh Malaysia sebagai negara kleptokrat. Jadi janganlah fikir dulu dan sekarang sama sahaja tiada kelainan hingga kita mahu memboikot.

“Kerajaan sekarang tidak sama seperti kerajaan dahulu. Sebab itu kita perlu kembali kepada kerajaan yang telah membuktikan kebolehannya dengan pembangunan negara di masa itu berbanding di masa sekarang.

“Jadi fikir-fikirlah dengan mendalam jika kita nak betulkan kuasa Melayu, jika masih kekal dengan Umno sesuatu yang salah. Umno bukan lagi penentu kuasa Melayu,” ujarnya.

Justeru katanya melalui Pakatan Harapan lebih utamakan agihan kekayaan dan kuasa negara secara saksama.

“Kita mempunyai parti-parti yang khusus mewakili orang Melayu. Jika mereka diberi peluang mereka akan menunjukkan kebolehan mereka.

“Mereka (PH) akan membawa ke landasan yang betul seperti dahulu dan dapat mengatasi masalah-masalah yang berlaku.” ujarnya.

Baca: Policy Talk: Pakatan Harapan berikrar atasi kos sara hidup

 Policy Talk: Siswazah jual nasi lemak, pandu uber bukti kerajaan gagal