Malaysia Dateline

Poligami bukan pengangkat status kuat agama

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin mengingatkan bahawa amalan berpoligami tidak harus dianggap sebagai mengangkat status beragama individu.

Menurutnya, keharusan poligami adalah tanggungjawab sosial dan bukannya hak istimewa lelaki semata-mata.

“Latar belakang keharusan poligami adalah tanggungjawab sosial. Walaupun faktor individu diambil kira, kaitannya dengan tanggungjawab sosial lebih relevan.

“Poligami bukan hak istimewa lelaki tetapi hak bersama lelaki dan wanita. Melihat poligami sebagai prerogatif lelaki adalah sudut pandang salah terhadap syariat.

“Tapi bagi sesetengah agamawan, poligami dianggap pengangkat status kuat agama. Lagi kuat agama seseorang, lagi besar keperluan untuk poligami,” ujarnya.

Oleh sebab itu, beliau menyelar sikap sebahagian agamawan yang berpoligami atas alasan menjaga kemaluan.

Bahkan, katanya, agamawan terbabit akan menganggap pihak yang menghalang mereka untuk berpoligami sebagai musuh agama.

“Bagi agamawan sebegitu, kekuatan anu perlu dikekang dengan poligami. Jika tidak, anu akan menerawang mencari mangsa. Agama kata jangan biarkan anu menerawang, berdosa.

“Maka atas alasan menjaga anu, agamawan pun berpoligami. Bagi agamawan sebegitu, jika ada pihak yang menghalangnya berpoligami, pihak itu musuh agama,” bidasnya dipetik daripada hantaran di Facebook beliau hari ini.

Reaksi itu dilihat susulan tindakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mokhtar Senik mempersoal sikap kaum ibu yang menolak lelaki berkahwin sebagai menantu walaupun imam solat tetapi menerima pula lelaki bujang yang tidak mendirikan sembahyang.

Menjual agama 

Mengulas lanjut, Ustaz Zolkharnain berpendapat agamawan yang berpoligami dengan alasan menjaga kemaluan sebagai menjual agama demi memuaskan nafsu.

“Maka alasan agama dicari untuk mencandu orang supaya sokong agamawan berpoligami. Jika anak dara tidak diserah kepada agamawan, rosaklah kehidupan agama wanita itu.

“Begitulah jahatnya agamawan sebegitu yang menjual agama dan dalilnya untuk memuas nafsu yang tidak setara mana. Agamawan sebegini lebih buruk daripada agamawan yang kuat nafsunya,” katanya.

Lebih membimbangkan, beliau menyifatkan agamawan terbabit bukan sekadar merosakkan agama bahkan merosakkan hidup orang lain.

“Agama jadi hodoh kerana tindakan jual agama. Manusia merana kerana terkapai-kapai dayung tidak mencecah air,” hujahnya berbidalan.

Sehubungan itu, Ustaz Zolkharnain mengingatkan poligami itu harus, jarang menjadi wajib tetapi lebih banyak menjadi haram.

“Tapi bagi agamawan sebegitu, poligami seperti wajib. Ibu bapa yang tidak beri anak gadis kepada agamawan sebegitu dikira berdosa.

“Kepada ibu bapa, jangan serahkan anak gadis anda untuk jadi mangsa agamawan sebegitu. Anak gadis anda tidak jadi lebih beragama jika hidup bersama agamawan sebegini,” pesannya lagi.