Polemik Pindaan Akta 355

Polemik Pindaan Akta 355

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pada 26 Mei 2016 hangat diperkatakan isu mengenai Ahli Parlimen Marang yang telah mengemukakan usul rang undang-undang persendirian.

Pelbagai pihak telah mengulas daripada aspek politik. Saya hanya ingin melihat daripada aspek perundangan.

Komen awal saya bila melihat usul yang dibuat dan membuat perbandingan dengan seksyen asal Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), terdapat kejanggalan dari sudut penggubalan (drafting) akta ini.

Saya tidak tahu siapakah yang mendrafkan usul tersebut. Saya fikir ianya tidak mematuhi standard dan piawaian Peguam Negara.

Sefahaman saya, walaupun ianya adalah usul persendirian, pegawai undang-undang Parlimen seharusnya menyemak terlebih dahulu usul tersebut supaya ianya menepati bahasa undang-undang dan piawaian tertentu.

Sekiranya terdapat kesilapan daripada segi bahasa ianya akan menjejaskan perlaksanaannya kelak dan kesilapan ini akan menyusahkan pengamal undang-undang dan para hakim sendiri.

Pada hemat saya, seharusnya Seksyen 2 Akta 355 ini hanya perlu dipinda di bahagian syaratnya sahaja iaitu berkaitan hukuman tiga tahun penjara atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Lain-lain peruntukan di dalam seksyen itu tidak bermasalah dan perlu dikekalkan untuk mengelakkan timbul kekeliruan di kemudian hari.

Berikut adalah seksyen 2 yang asal: Seksyen 2. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Berikut pula adalah petikan apa yang diusulkan oleh Ahli Parlimen Marang. Petikan ini saya ambil daripada Aturan Mesyuarat 26 Mei 2016 yang telah dimasukkan dalam laman web Parlimen seperti di bawah:

15. Dato Seri Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] akan mencadangkan:

“Bahawa Dewan ini memberikan kebenaran menurut Peraturan Mesyuarat 49 (1) kepada Yang Berhormat Ahli bagi kawasan Marang untuk mencadangkan suatu Rang Undang-undang Ahli Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 seperti berikut:-

i. menggantikan Seksyen 2 dengan seksyen berikut: “2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-Undang Persekutuan.”; dan

ii. memasukkan selepas seksyen 2 dengan seksyen berikut: “2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, selain dari hukuman mati.”

Perkara penting di sini adalah laras bahasa undang-undang yang digunakan agak janggal iaitu:

Usul itu telah membuang perkataan, ‘Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri’ dan hanya menggunakan perkataan ‘Mahkamah Syariah’ sahaja. Dalam konteks Negeri Kelantan, sebagaimana yang kita maklumi telah diwujudkan Mahkamah Syariah yang baharu iaitu Mahkamah Bicara Khas dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas.

Saya khuatir kelak ada pula orang mempertikaikan keesahan Mahkamah yang baharu diwujudkan tersebut. Saya juga gagal memahami apakah rasional ayat dalam seksyen asal itu dipinda sedangkan ayat tersebut telah banyak kali dicabar di Mahkamah dan seksyen itu telah berjaya menghadapi cabaran itu. Manakala, seksyen baharu yang diusulkan ini belum tentu berjaya menghadapi cabaran yang bakal mendatang.

Seksyen yang asal juga menyatakan, “…berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis”.

Jelas seksyen asal ini adalah lebih umum dan menyeluruh berbanding dengan apa yang diusulkan oleh Ahli Parlimen Marang. Ini kerana apa yang diusulkan itu hanya menyebut ‘kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri…’.

Saya kira adalah mustahak untuk mengekalkan bahasa asal Perlembagaan. Perkataan ‘kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam’ itu telah pun dicabar sehingga ke Mahkamah Persekutuan dan berjaya mengharung cabaran tersebut. Sekali lagi saya menyatakan kekhuatiran saya sekiranya perkara baharu dibuat, ianya belum tentu lagi akan berjaya menghadapi cabaran itu.

Ahli Parlimen Marang juga menyebutkan, ‘Jadual Kesembilan Undang-Undang Persekutuan’. Saya tidak tahu siapakah penasihat undang-undang Ahli Parlimen Marang. Perkataan ‘Undang-Undang Persekutuan’ bermaksud akta-akta yang digubal oleh Parlimen. Saya percaya perkataan yang lebih tepat adalah ‘Perlembagaan Persekutuan’.

Bagi saya ini adalah kesalahan penggubalan yang tidak boleh dimaafkan dan termasuk dalam erti kata cuai. Saya tidak percaya ada orang yang berani mensabotaj Ahli Parlimen Marang dan saya anggap sesiapa jua yang menasihatinya patut memohon maaf secara terbuka kerana telah mengaibkan Ahli Parlimen Marang.

Usul nombor 2A yang dicadangkan juga janggal kerana menyebutkan ‘Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah’ sedangkan dalam Usul nombor 2 itu langsung tidak menyebutkan perkataan ‘undang-undang jenayah’.

Perkataan ‘berhak menjatuhkan hukuman’ juga agak janggal kerana ianya bukan bahasa lazim perundangan. Mungkin perkataan ‘berkuasa’ mungkin lebih tepat untuk digunakan. Ini kerana Mahkamah tidak dikatakan sebagai diberikan hak dan Mahkamah tidak memerlukan sebarang hak. Sebaliknya Mahkamah diberikan bidang kuasa maka ianya berkuasa untuk menghukum.

Usul nombor 2A juga menyebutkan ‘dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas’. Ini akan menimbulkan kekeliruan kerana nombor 2 tidak menyebutkan apa-apa kesalahan.

Saya menyokong pindaan kepada Seksyen 2 Akta 355 kerana ianya boleh meningkatkan martabat Mahkamah Syariah. Bidang kuasa yang ada sekarang ini sememangnya sangat minima, malah lebih rendah daripada Mahkamah Majistret. Bidang kuasa yang diusulkan oleh Ahli Parlimen Marang ini sekurang-kurangnya menyamakan bidang kuasa Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sesyen.

Namun, sebaiknya usul yang sebegini besar sewajarnya dibincangkan dengan teliti dan berhemat supaya tidak menimbulkan polemik lain.
Saya juga telah mendengar sedutan drama di Parlimen hari ini dan saya mendapati Speaker sendiri menyatakan bahawa apa yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang ini hanyalah usul semata-mata dan bukanlah Bacaan Pertama sebagaimana yang difahami oleh sesetengah orang.

Usul ini sama seperti usul yang dibawa oleh lain-lain Ahli Parlimen. Contohnya, Ahli Parlimen Kuantan pernah membawa usul berkaitan pencemaran bauksit di Kuantan dan Speaker telah membenarkan ianya dibahas. Lazimnya, cadangan usul akan dibawa di sebelah pagi dan akan dibahaskan di sebelah petang bagi memberikan ruang kepada lain-lain ahli parlimen membuat persediaan untuk berbahas.

Anehnya, Ahli Parlimen Marang hanya mengemukakan usul dan usul tersebut telah tergantung tanpa dibahaskan. Usul hari ini tidak membawa apa-apa erti dan nilai daripada sudut perundangan melainkan ianya ada direkodkan di dalam hansard.

Perjalanan untuk meluluskan usul ini masih jauh. Tiada siapa yang boleh memberikan jaminan sama ada ianya akan dibahaskan atau tidak. Ini kerana, selepas usul tersebut dibahaskan baharulah akan dibuat proses pengundian sama ada untuk menerima atau menolak usul tersebut.

Sekiranya usul tersebut diluluskan baharulah akan dibuat proses berikutnya iaitu Bacaan Pertama, Kedua, Peringkat Jawatankuasa dan Ketiga. Akhirnya, yang menjadi mangsa polemik adalah rakyat yang tidak memahami peruntukan undang-undang yang diajak untuk berkonflik dan kata-mengata di dalam FB dan whatsapp.

*Penulis Dr Zulqarnain Lukman adalah seorang peguam dan sebagai ahli jawatankuasa khas hudud Kelantan.

CATEGORIES