Malaysia Dateline

Polio: Loceng amaran kepada ibubapa keperluan suntikan vaksin anak, kata Exco Kedah

Penyakit ‘polio’ yang menjangkiti seorang bayi di negara ini seharusnya menjadi ‘loceng amaran’ kepada ibu bapa supaya melengkapkan anak mereka dengan suntikan vaksin percuma yang diberikan oleh kerajaan.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Tegas beliau lagi, insiden tersebut seharusnya diberi perhatian serius oleh semua golongan masyarakat.

Malah katanya, kematian bayi tersebut sebelum ini telah pun disahkan tidak diberi suntikan vaksin tatkala penyakit ‘polio’ boleh menjangkiti orang lain yang tidak mempunyai imuniti.

“Penyakit ini hanya boleh dicegah dengan mendapatkan suntikan vaksin kepada anak-anak.

“Mana-mana ibu-bapa yang pernah menolak suntikan vaksin sebelum ini sewajarnya memikirkan semula mengenai perkara tersebut.

“Kes kematian membabitkan penyakit tibi dan penyakit yang lain sebelum ini telah pun pupus dalam negara ini, sebaliknya kini semakin meningkat, ” ujar beliau.

Jelas beliau lagi, sepanjang tahun 2018, sebanyak 139 kes penolakan suntikan vaksin dicatatkan di negeri Kedah jika dibandingkan sebanyak 133 kes pada tahun sebelumnya.

Tambahnya, kebanyakan ibu-bapa yang menolak suntikan vaksin tersebut mendakwa masih tidak yakin dengan status halal vaksin kerana tiada terdapat label halal pada botol atau kotak vaksin berkenaan.

Baru-baru ini Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan beliau telah pun mengesahkan bahawa seorang bayi lelaki dari Tuaran, Sabah telah dijangkiti virus ‘polio’.

Dengan kewujudan kes tersebut, ia merupakan kes pertama selepas 27 tahun negara ini bebas dari penyakit ‘polio’ tersebut.

Vaksin penyakit ‘polio’ telah pun dilaksanakan di negara ini sejak tahun 1972 lagi melalui program imunisasi ‘polio’ dan terbukti ia berjaya dibasmi apabila kes terakhirnya di kesan pada tahun 1992

Manakala pada tahun 2000 negara ini telah pun diisytiharkan sebagai negara yang telah bebas ‘polio’.