Malaysia Dateline

Polis akan lengkapkan kertas siasatan majlis kahwin Neelofa langgar SOP minggu ini

Polis akan melengkapkan kertas siasatan berhubung majlis perkahwinan selebriti kontroversi, Neelofa yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) minggu ini sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata pihaknya sudah merekodkan keterangan Noor Neelofa Mohd Noor, 32, dan suaminya, Haris Ismail, 26, atau dikenali PU Riz petang semalam.

“Polis selesai rakam keterangan Neelofa dan suaminya petang tadi (semalam). Percakapan mereka bagi melengkapkan kertas siasatan,” lapor BH, malam tadi.

Terdahulu, Zainal dilapor berkata, pihaknya mendapati majlis pernikahan pasangan yang berlangsung Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, 27 Mac lalu itu gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Susulan itu, pada petang 30 Mac lalu, pengasas ReekaTeemor, Faiz Sabari ditemani isterinya, Rozana Mumtaz yang juga pengurus majlis perkahwinan pasangan itu memberi keterangan kepada pihak polis selepas hampir dua jam.

Majlis bertemakan Jabal Rahmah serba putih dipenuhi empat tan bunga segar yang direka oleh ReekaTeemor itu turut dihadiri Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang memberikan khutbah dan tazkirah ringkas kepada pasangan terbabit.