Malaysia Dateline

Polis, ATM tutup sempadan jalan menghubungkan PJ dan KL

Polis menutup Jalan 5/46 Gasing Indah, di Petaling Jaya yang bersempadan dengan Jalan Pantai Dalam Kuala Lumpur bagi pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP), malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, penutupan jalan itu dibuat bagi melancarkan aliran trafik di lokasi berkenaan.

“Penutupan jalan itu bagi membolehkan sekatan jalan raya dilakukan secara menyeluruh di kawasan berkenaan.

“Pada masa sama, ia boleh mengelakkan ada pengguna jalan raya yang melanggar arahan PKP dengan menggunakan laluan lain bagi mengelak sekatan jalan raya di kawasan itu,” katanya.

Selain itu, jalan sekitar kawasan Kota Damansara, Petaling Jaya juga ditutup bermula 8 pagi semalam bagi pelaksanaan PKP.

Antara jalan terbabit dengan penutupan berkenaan termasuk Jalan Persiaran Mahogani Seksyen 9, Jalan Persiaran Jati Seksyen 8 dan Jalan Persiaran Sungai Buloh (TSB).