Malaysia Dateline

Polis bakal ambil keterangan pakar Perlembagaan esok

Ekoran kenyataan berhubung kedudukan Agong dalam proklamasi darurat, polis dijangka memanggil Naib Presiden DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari esok.

Ketua Pembangkang Perak itu akan memberi keterangan berhubung isu tersebut dalam satu siaran langsung di Facebook bulan lalu.

Difahamkan keterangan pakar Perlembagaan itu akan diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman.

“Ia hanya isu yang dibincangkan ketika sesi Facebook live saya tetapi apa yang saya boleh cakap ialah, semua yang saya perkatakan ada asas dalam Perlembagaan,” lapor Malaysiakini.

Terdahulu, laporan polis telah dibuat terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi berkenaan berkaitan kenyataan tersebut.

Laporan polis tersebut berkemungkinan berdasarkan siaran langsung di Facebook Aziz pada 12 Januari lalu.

Bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu antara lain bimbang proklamasi darurat akan memberikan kuasa mutlak tanpa batasan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen.

Sehubungan itu, beliau berpendapat penyelesaian kepada darurat hanyalah di bawah Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa untuk menarik balik pengisytiharan berkenaan.

“Kita doa supaya Yang di-Pertuan Agong tarik balik pengisytiharan darurat. Baru boleh balik kepada keadaan asal. Kalau tidak, kuasa itu meluas sehingga boleh menggantung Perlembagaan.

“Mungkin rakyat boleh hantar petisyen meminta raja-raja mencari penyelesaian. Saya rasa akhirnya nanti raja-raja ini yang akan membuat keputusan.

“Raja-raja harus ke depan ketika negara kita terjebak dalam suasana yang tidak menentu seperti ini,” tambah Aziz lagi.

Untuk rekod, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah setelah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memperkenankan pengisytiharan darurat untuk mengekang peningkatan kes Covid-19 pada 12 Januari lalu.

Ekoran itu, pihak tertentu mendakwa Muhyiddin menggunakan pengisytiharan darurat untuk mengekalkan kerajaan PN selepas hilang sokongan majoriti di Parlimen.