Polis belum terima notis anjur himpunan pada 2 April desak Najib letak jawatan

Polis belum terima notis anjur himpunan pada 2 April desak Najib letak jawatan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Polis masih belum menerima notis lengkap daripada penganjur perhimpunan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan yang dijadualkan di ibu negara, 2 April ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak penganjur harus mengikuti peraturan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Mana-mana pihak yang ingin membuat perhimpunan harus memaklumkan pihak polis terlebih dahulu.

“Sekiranya tidak ada notis lengkap, pihak polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya mana-mana pihak cuba melanggar akta ini,” katanya kepada pemberita selepas turut sama menyertai Program ‘Trim & Fit’ PDRM sempena Hari Peringatan Polis ke 209 hari ini.

Pakatan Harapan mengumumkan rancangan mengadakan perhimpunan bagi menuntut peletakan jawatan perdana menteri pada 2 April ini di Dataran Merdeka.

Mengulas mengenai perhimpunan tertutup yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam, Ahad ini, Khalid berkata pemantauan akan dibuat dan sekiranya didapati terdapat ucapan yang berbaur hasutan, tindakan akan diambil.

TAGS