Malaysia Dateline

Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim

Polis beri ingatan tidak kaitkan kematian Adib dengan isu perkauman

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi peringatan jangan sesekali mengaitkan kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dengan isu perkauman dan sebagainya.

Dalam masa sama,a Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim menegaskan, kematian Allahyarham Muhammad Adib merupakan kes jenayah dan pihaknya akan mengambil tindakan sewajar.

“Saya beri ingatan jangan ambil kesempatan ke atas isu ini untuk membangkitkan isu-isu rasis, perkauman dan sebagainya, ini hanyalah satu kes jenayah yang dalam tindakan pihak polis,” katanya seperti dipetik Astroawani hari ini.

Sejurus kematian Allahyarham Muhammad Adib, 24, pada pukul 9.41 malam Isnin, laman media sosial dibanjiri pelbagai mesej termasuk di Facebook, Twitter dan WhatsApp yang mengaitkan pemergian anggota bomba itu ada kaitan dengan isu agama dan bangsa.

Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.41 malam Isnin.

Jenazah beliau selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid As-Saadah di Kuala Kedah, sebelum solat Zohor pada Selasa.

Sementara itu, Noor Rashid berkata, pihaknya masih dalam proses melengkapkan siasatan kes kematian Muhammad Adib.

“Kita telah klasifikasikan kes ini semula di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan ia masih lagi di dalam proses siasatan.

“Kita akan ambil tindakan-tindakan yang perlu untuk melengkapkan siasatan dan mengenal pasti mereka yang terlibat, mendapatkan butir-butir dan kita akan ambil tindakan,” jelas beliau lagi.