Malaysia Dateline

Polis buru lelaki larikan tabung milik peniaga

Seorang lelaki dan dua rakannya yang melarikan tabung wang milik seorang peniaga di kawasan tepi Jalan Arung, Tampoi, di Johor Bahru sedang diburu polis.

Suspek iaitu seorang lelaki dipercayai warga tempatan berpura-pura ingin membeli makanan di gerai mangsa tetapi telah melarikan bekas wang jualan gerai tersebut.

Mangsa seorang remaja perempuan berusia 18 tahun mengalami kerugian RM300 dalam kejadian pukul 6 petang, 21 Julai lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid, ketika kejadian, mangsa berkenaan berseorangan menguruskan gerai makan semasa ibunya sedang berehat.

“Suspek tersebut melarikan diri bersama-sama dua rakannya menaiki kereta jenis Perodua Axia berwarna hitam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes samun itu dirakam oleh orang awam sebelum tular di media sosial sejak semalam. Orang awam turut membantu mangsa mengejar suspek itu namun gagal menghalang kumpulan penjenayah itu.

Suspek yang melarikan diri bersama rakannya menaiki Perodua Axia itu, jelas Rupiah, dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek diseru menyalurkan maklumat ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerusi talian 07-5563122.