Polis buru lelaki tampar, ugut juruwang wanita

Polis buru lelaki tampar, ugut juruwang wanita

 Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang bertindak menampar dan mengugut seorang juruwang wanita di sebuah kedai serbaneka di Bayan Lepas dekat sini hanya kerana tidak dibenarkan membeli lebih dari dua paket minyak masak.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A A Anbalagan hari ini berkata kejadian pada kira-kira pukul 8.40 pagi semalam itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kedai itu yang membantu pihak polis mengenal pasti identiti lelaki berkenaan.

“Hasil semakan rakaman CCTV ini mengesahkan lelaki berkenaan telah mengamuk dan memukul bahagian belakang kepala mangsa,” katanya.

Menurutnya mangsa berumur 29 tahun itu turut mengadu mengalami kesakitan di bahagian belakang kepala selain mengalami ketakutan ekoran daripada ugutan yang dibuat lelaki terbabit.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan dan Seksyen 323 kanun yang sama kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Anbalagan berkata berdasarkan laporan mangsa, lelaki berkenaan telah datang ke kedai itu untuk membeli beberapa barangan termasuk tiga paket minyak masak.

“Apabila diberitahu oleh mangsa bahawa setiap pelanggan hanya dibenarkan membeli sehingga dua paket minyak masak sahaja, lelaki berkenaan berang dan memaki hamun mangsa sebelum bertindak menamparnya,” katanya.

Menurutnya sebelum meninggalkan premis berkenaan, lelaki itu turut mengingatkan mangsa supaya berjaga-jaga.

Loading...

Sementara itu, video rakaman CCTV berkenaan tular di media sosial sejak semalam dan ramai netizen memgecam tindakan lelaki itu dan meminta pihak polis segera mengambil tindakan terhadapnya.- BERNAMA