Polis buru suspek pecah rumah guna Estima

Polis buru suspek pecah rumah guna Estima

Polis memburu tiga lelaki yang disyaki melakukan kejadian pecah rumah di Kuantan dan Rompin, dengan menggunakan kereta mewah Toyota Estima bagi mengaburi masyarakat.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata pada kejadian terbaharu Jumaat lepas, suspek dipercayai memecah masuk tiga buah rumah di Seri Teruntum, Lorong Alor Akar dan Jalan Tengku Muhammad di sini, antara 12 tengah hari hingga 5 petang.

Katanya, kejadian menyebabkan kerugian RM150,000 apabila pelbagai barangan berharga milik mangsa dilarikan antaranya wang tunai, jam tangan, telefon bimbit, komputer riba dan sebuah kereta jenis Mazda CX-5.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah mangsa, suspek dipercayai membuat tinjauan awal bagi memastikan pemilik dan jiran sekitarnya tidak berada di rumah.

“Salah seorang suspek akan berada di depan rumah antara 10 ke 15 minit, sambil berpura-pura membuat panggilan telefon untuk meninjau keadaan sebelum dia dan rakan subahatnya memecah masuk dengan mengumpil pintu jeriji dan pintu gelongsor kaca.

“Kita percaya seorang lagi suspek menunggu di dalam kereta untuk memudahkan mereka melarikan diri. Kita juga tidak menolak seorang wanita berkemungkinan terlibat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuantan di sini, semalam.

Mohamad Noor menambah berdasarkan rakaman CCTV, suspek dipercayai berbangsa Melayu, berusia antara 22 hingga 35 tahun, dengan seorang daripada mereka berfizikal gempal dan tegap manakala seorang lagi bertubuh kurus.

Beliau menambah selain menggunakan kereta mewah, semua suspek juga begitu bersahaja dan tidak melindungi muka semasa berada di hadapan rumah mangsa bagi mengelakkan syak jiran mangsa, menyebabkan polis yakin mereka pernah melakukan jenayah sebelum ini.

“Siasatan terhadap nombor pendaftaran W6097R kereta Toyota Estima berwarna hitam atau gelap yang digunakan suspek mendapati ia diklon daripada kereta jenis sama bagi menyukarkan siasatan. Ini menunjukkan suspek adalah kumpulan terancang,” katanya.

Mohamad Noor menambah polis percaya kereta itu adalah kereta curi dan selain Pahang, suspek dipercayai pernah melakukan jenayah serupa di luar negeri ini.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada perkembangan lain, Mohamad Noor memaklumkan pihaknya menahan 11 wanita warga Thailand dan Vietnam serta 12 lelaki termasuk dua dari Myanmar pada Op Noda yang diadakan bermula pukul 8.30 malam semalam.

Katanya, kesemua mereka ditahan di dua pusat refleksologi di sini dan dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran.

— BERNAMA