Polis cari Musa Aman diambil keterangan

Polis cari Musa Aman diambil keterangan

Polis Sabah sedang berusaha untuk mendapatkan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman bagi merekodkan kenyataannya dengan segera berhubung siasatan laporan polis Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah Tun Juhar Mahiruddin terhadap Musa yang dibuat pada minggu lalu, kata Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Ramli Din.

Bagaimanapun, Ramli dipeetik berkata, polis difahamkan Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu tidak berada di Kota Kinabalu pada ketika ini.

“Kami sedang mencari jalan untuk mendapatkan beliau. (Bagaimanapun), belum ada apa-apa waran dikeluarkan (terhadap Musa) ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri kepada Pasukan Keselamatan semalam lapor Bernama.

Majlis disempurnakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Ramli berkata setakat ini pihaknya telah merakamkan percakapan sembilan individu, dan menurutnya kenyataan daripada Juhar juga telah direkodkan serta-merta selepas laporan polis dibuat pada 14 Mei lepas.

“Kami sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan cuba siapkan dalam masa terdekat. Kita memerlukan kenyataan daripada beliau (Musa) sebelum kertas siasatan dihantar kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan lanjut,” katanya.

Ramli berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.

Pada 10 Mei lalu, Musa telah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Juhar pada 10 Mei selepas memperoleh majoriti mudah.

Bagaimanapun, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah dilantik sebagai ketua menteri dan mengangkat sumpah di hadapan Juhar dua hari kemudian (12 Mei) selepas beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri daripada BN berpaling tadah kepada Warisan.

Enggan meletak jawatan, Setiausaha Sulit kepada TYT, Abinan Asli pada 14 Mei menyampaikan surat pemberitahuan kepada Musa bahawa beliau bukan lagi ketua menteri.

Susulan itu, pada 17 Mei, Musa memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Juhar dan Mohd Shafie, memohon pengisytiharan bahawa beliau (Musa) kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah.

COMMENTS

Wordpress (0)