Malaysia Dateline

Polis cari waris ekoran penemuan tengkorak di Matang, Kuching

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Padawan, Kuching sedang mencari waris susulan penemuan tengkorak dan beberapa tulang manusia di tepi Jalan FAC Batu 11, Matang pada 25 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, walaupun identiti tengkorak dan tulang itu belum dikenal pasti, namun sesiapa yang mempunyai kehilangan ahli keluarga boleh tampil ke balai-balai polis yang berdekatan.

“Mereka boleh menghubungi terus Ketua Polis Balai Batu Kawa yang juga Pegawai Penyiasat, Sub Insp. Noh Pojak di talian 082-463412 atau 019-8470303.

“Selain tengkorak dan tulang, turut dijumpai satu helai baju lengan pendek yang tertera perkataan SIDMA Kolej Sarawak dan lebih kurang 20 meter dari tempat penemuan tulang tersebut turut menjumpai satu seluar jean warna biru jenama LMS dan kasut sukan berwarna hitam jenama Fasshion saiz 7,” ujarnya dalam satu kenyataan di Kuching semalam.

Jelas Aidil, turut dijumpai ialah satu beg warna biru tertera logo UITM dan satu helai jaket jenama Hellyhansan saiz S.

Katanya,hasil pemeriksaan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) telah mengesahkan tulang itu adalah tulang manusia dewasa berdasarkan ciri-ciri saiz tulang dan tengkorak.

“Kes diklafikasikan sebagai mati mengejut terlebih dahulu sehingga sisatan serta analisa lebih lanjut dijalankan,” kata beliau.