Malaysia Dateline

Polis cuci wang haram: Tubuh segera Suruhanjaya bebas salah laku Polis

Satu badan bebas aduan dan salah laku polis perlu ditubuhkan segera bagi mengekang kegiatan yang tidak bermoral dalam kalangan penjawat awam itu, kata Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, ia susulan dakwaan seramai lapan pegawai kanan polis disyaki terbabit dalam salah laku pengubahan wang haram.

Menurutnya, badan yang ditubuhkan itu bukanlah untuk mencari kesalahan pegawai polis, namun ia demi mengekalkan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai institusi yang harus dihormati.

“Kita bukan mahu mencari salah polis. Kita mahu integriti PDRM terus dijaga dan menjadikan PDRM sebuah badan yang dihormati dan dapat berkhidmat secara amanah terhadap negara dan rakyat.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) telah dibentangkan pada bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Walaubagaimanapun, RUU tersebut ditarik balik untuk ditambah baik selepas Jawatankuasa Pilihan Khas Rang Undang-undang membuat pendengaran awam bersama kakitangan polis di beberapa negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) menggantikan Rang Undang-Undang berkenaan dengan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Bagaimanapun menurut Salahuddin, RUU itu tidak akan dapat dilaksanakan secara berkesan memandangkan terdapat peruntukan yang mewajibkan IPCC untuk memberikan notis awal sebelum membuat apa-apa lawatan atau semakan terhadap PDRM.

Justeru katanya, prosedur itu mampu mempengaruhi proses siasatan yang mana mereka yang bersalah mempunyai peluang untuk menutup kesalahan mereka.

“Kita sayang PDRM. Kita tidak mahu skandal kewangan atau apa-apa salah laku berlaku dalam kalangan polis yang turut mejejaskan imej PDRM,” katanya lagi.