Malaysia Dateline

Polis dan kerajaan fail saman untuk lucuthak RM711 juta harta Najib, Rosmah

Kerajaan dan pihak polis memfailkan dua saman untuk melucuthakkan harta bernilai RM711 juta milik Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa pihak lagi.

Selain wang tunai, mereka juga menyita barang-barang mewah termasuk 27 kereta mewah dan hartanah daripada mereka yang terlibat.

The Edge melaporkan bahawa dua notis usul dan afidavit sokongan telah difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semalam untuk merampas barang-barang itu, yang didakwa dibeli dengan wang 1MDB.

Sumber yang dipetik berkata ia adalah langkah susulan selepas penyitaan barang berharga tahun lepas di kediaman yang dikaitkan dengan Najib di beberapa kawasan, termasuk Bukit Bintang.

Notis pertama yang difailkan semalam adalah untuk merampas harta di Lembah Klang, wang tunai (dalam pelbagai mata wang asing), barang kemas, beg tangan, jam tangan dan cermin mata hitam bernilai RM680 juta.

Perisytiharan kedua ialah bagi merampas barang bernilai RM31 juta, termasuk 27 kereta mewah, wang tunai (dalam pelbagai mata wang asing), 29 akaun bank, jam tangan dan beg.

Pada Mac lalu, Ketua Polis Negara ketika itu, Mohamad Fuzi Harun, menegaskan bahawa siasatan ke atas barangan yang dirampas mesti selesai pada atau sebelum 16 Mei.

Ini kerana pihak polis hanya mempunyai sehingga tarikh itu untuk memegang barang yang dirampas. Selepas itu, Fuzi berkata, pihak polis perlu melalui proses tertentu, termasuk cadangan dari mahkamah sebelum meneruskan siasatan.

Pada 27 Jun tahun lalu, bekas Pengarah CCID Bukit Aman Amar Singh dilaporkan berkata jumlah nilai barang yang disita berkaitan dengan kes 1MDB adalah antara RM900 juta dan RM1.1 bilion.