Polis digesa siasat petisyen desak kerajaan meratifikasi Statut Rom

Polis digesa siasat petisyen desak kerajaan meratifikasi Statut Rom
Datuk Mohd Razlan Mohd Rafi (dua dari kiri) bersama beberapa ahli membuat laporang polis hari ini.

Gerakan Pemantauan Statut Rome hari ini membuat laporan polis terhadap individu yang cuba menyebarkan petisyen yang mendesak kerajaan dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir meneruskan perjanjian Statut Rome.

Pengerusinya, Datuk  Mohd Razlan Mohd Rafi menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dua individu disyaki sebagai dalang yang menggerakkan petisyen berkenaan.

Katanya, individu terbabit dikenali sebagai seorang pensyarah, Prof Shads Saleem Faruqi dan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Wong Yan Ke.

“Kami mendapat laporan bahawa ada individu yang terlibat dalam gerakkan untuk mendapatkan petisyen melalui media sosial dan akan melakukan himpunan beramai-ramai.

“Ini satu gerakan bahaya yang meracuni pemikiran mahasiswa untuk mendesak kerajaan meneruskan meratifikasi Statut Rome sedangkan kita sudah menarik diri dari menyertai badan tersebut.

“Saya meminta supaya pihak polis menyiasat dan menghentikan gerakan petisyen ini. Sekiranya ada gerakan menyokong ratifikasi ini, saya yakin akan ada gerakan yang menghalang dan menolak petisyen tersebut,”katanya selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Beliau menegaskan, negara akan menjadi kucar-kacir jika berlaku pertembungan di antara gerakan yang menyokong Statut Rome dan gerakan menolak petisyen berkenaan.

Jelasnya, pertembungan turut akan berlaku di antara Majlis raja-raja dan rakyat yang akan diperdebatkan pelbagai pihak jika gerakan ini diteruskan.

“Kita pun tak akan berdiam diri. Sekiranya mereka mendapat sokongan dalam jumlah banyak, kita juga akan melakukan gerakan untuk menghalang langkah ini.

“Kami bimbang petisyen itu akan menyebabkan kerajaan berubah fikiran sekali lagi untuk meneruskan Statut Rome kerana terdapat lagi tempoh sehingga bulan Jun untuk menarik semula keputusan pembatalan yang diumumkan Mahathir, jumaat lalu,” ujarnya.

Pada 6 April, sebuah petisyen telah dilancarkan oleh sembilan orang anak muda bagi mengumpul tandatangan rakyat Malaysia yang mendesak kerajaan untuk meratifikasikan Statut Rome.

Setakat 6.40 petang tadi, petisyen tersebut telah mendapat 8,313 tandatangan, dimana sasarannya sebanyak 10 ribu sokongan.