Malaysia Dateline

Polis diharap pertingkat usaha tangani penipuan melalui talian

Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Bukit Aman perlu meneliti dan bertindak tegas terhadap kejadian penipuan melalui talian (scam) yang melibatkan rakyat Malaysia.

Kata beliau, maklum balas daripada orang awam menunjukkan gejala ini menjadi semakin berleluasa dalam tahun-tahun kebelakangan dengan sejumlah kes masih dalam siasatan dan kes-kes lain ada yang tidak dapat diselesaikan.

“Macau Scam sebagai contoh, telah mengakibat ramai individu menjadi mangsa dan kejadian ini semakin berleluasa.

“Setiap hari ada sahaja mereka yang menerima emel yang berkaitan dengan amaran bank berhubung akaun bank, atau menerima panggilan daripada mereka yang mendakwa sama ada sebagai pegawai polis, mahkamah, Bank Negara atau Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Warga emas paling terjejas oleh usaha penipuan ini kerana mereka ini kehilangan wang simpanan yang diperlukan meneruskan hidup selepas berpencen,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu kata beliau, masanya telah tiba bagi pihak polis untuk menambah sumber untuk memburu individu-individu berkaitan dan menghukum mereka secara setimpal.