Malaysia Dateline

‘Polis ingat peniaga burger lebih bahaya dari ekstremis agama’

Tindakan polis mengeluarkan kompaun RM50,000 terhadap seorang peniaga burger di Kota Bharu atas kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) amat mengejutkan.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar berkata, kompaun dengan jumlah maksimum bagi kesalahan berniaga melebihi masa itu akibat pelaksanaan darurat di seluruh negara.

Mahfuz Omar

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga secara sinis dilihat mengaitkan tulisan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini yang antara lain mendakwa kerakusan golongan pelampau politik
lebih teruk daripada pelampau agama.

“Awat la sampai macam ni? Ordinan Darurat punya pukulan. Ini mesti punca fatwa Pak Haji Hadi Awang.

“Tentu polis ingat orang jual burger ini lebih bahaya dari ekstremis agama,” selorohnya di Twitter.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam tadi, peniaga burger Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, didatangi beberapa anggota polis ketika sedang menyiapkan pesanan pelanggan yang merupakan golongan pekerja kilang di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu.

Ketika kejadian, beliau berkata, tiada seorang pelanggan pun di gerai yang terletak di hadapan rumahnya selain meja juga tidak dibuka.

Untuk rekod, operasi premis kedai makan atau restoran di Kelantan dihadkan sehingga jam 10 malam sahaja sepanjang tempoh PKP.