Polis Jakarta percaya letupan bom bermula di restoran Starbucks

Polis Jakarta percaya letupan bom bermula di restoran Starbucks

Kejadian letupan di Sarinah Thamrin di Jakarta pagi semalam dipercayai bermula di Restoran Starbucks di Gedung Cakrawala, yang terletak di persimpangan Jalan MH Thamrin/Jalan Wahid Hasyim di sini.

Ketua Bahagian Hubungan Manusia Markas Besar Polis Republik Indonesia Anton Charliyan berkata siasatan awal mendapati ledakan pertama berlaku dalam Restoran Starbucks dan dilakukan sekumpulan lelaki yang tidak dikenali.

Setelah berlaku letupan itu, katanya anggota polis berhampiran bergegas ke tempat kejadian dan mendapati restoran berkenaan dalam keadaan berselerakan manakala kumpulan itu juga cuba menculik dua warga asing.

“Setelah mengetahui kehadiran polis, mereka kemudian melemparkan bahan peledak ke arah pondok polis,” katanya seperti yang dipetik oleh media-media dalam talian tempatan.

Beliau berkata dua penjenayah yang melakukan ledakan itu adalah antara yang mati dalam kejadian 10.50 pagi semalam.

Anton berkata pada masa sama, tiga lagi lelaki melepaskan tembakan ke arah polis di luar restoran berkenaan.

“Seorang menggunakan senapang laras pendek di Starbucks dan dua orang melepaskan tembakan di luar Starbucks,” katanya.

Kedua-dua lelaki terbabit mati di dalam dan di luar restoran itu dengan membunuh diri menggunakan bom.

Beliau berkata serangan bom dalam restoran itu telah dirancang dan mereka meletupkan bom yang kecil dahulu untuk menimbulkan huru-hara serta menarik perhatian orang untuk keluar dari kawasan bangunan berkenaan.

Mereka kemudiannya melemparkan bom yang lebih besar ke arah luar, pondok polis dan kawasan parkir, katanya.

Anton berkata selepas berbuat demikian, tiga lagi lelaki anggota kumpulan terbabit bertempur dengan polis dan akhirnya mereka mati ditembak.

Beliau berkata polis telah mendapat maklumat mengenai ancaman pengganas di ibu kota, lalu menempatkan ramai anggotanya membuat rondaan di Jalan MH Thamrin.

“Kita juga tempatkan beberapa anggota yang memakai baju preman dan sempat berbalas tembakan di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan kumpulan lelaki itu adalah kumpulan pengganas Daesh di negara itu.

Dalam kejadian serangan bom dan senjata api itu, tujuh orang maut termasuk lima suspek pengganas itu.

Dua orang awam yang terkorban ialah seorang rakyat tempatan dan seorang rakyat Kanada yang secara kebetulan berada di dalam Restoran Starbucks berkenaan manakala puluhan lagi termasuk lima anggota polis dilaporkan cedera termasuk ada yang parah.

Sementara itu, semua Restoran Starbucks di Jakarta akan ditutup mulai hari ini sehingga ke tarikh yang diumumkan kelak.

“Semua Starbucks di Jakarta akan ditutup hingga pemberitahuan lanjut. Kami akan terus memantau situasi ini dengan saksama,” kata kenyataan pengurusan Starbucks seperti yang dipetik oleh CNN Indonesia.

TAGS