Polis jangka 90 peratus anggota undi awal esok

Polis jangka 90 peratus anggota undi awal esok

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superitenden Ashari Abu Samah mensasarkan lebih 90 peratus anggota polis akan membuang undi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, esok.

Ashari berkata, seramai 247 anggota polis layak mengundi awal di mana 232 daripadanya mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dan 15 orang pula di Dun Jelai.

“Kesemua anggota polis ini merangkumi mereka yang sedang berkhidmat, yang telah bersara termasuk telah bertukar serta yang telah meletakkan jawatan ataupun yang dibuang kerja.

“Kita jangkakan lebih 90 peratus kerana ada yang meletak jawatan, yang mana dibuang kerja itu ada yang tak dapat dihubungi.

“Mana yang bertukar dan bersara kita dapat berhubung dan mereka beri komitmen untuk datang ke sini,” katanya pada sidang media di Pusat Media di Cool Point Hotel, seperti dipetik laporang MG hari ini.

Ashari juga berkata, pengundian awal esok akan melibatkan dua tempat mengundi iaitu di Balai Polis Brinchang, Dun Tanah Rata dan Balai Polis Sungai Koyan, Dun Jelai.

“Pusat mengundi di Balai Polis Brinchang Tanah Rata akan dibuka pada jam 8 pagi dan ditutup tepat jam 5.30 petang.

“Manakala di Balai Polis Sungai Koyan pula pusat mengundi awal akan dibuka jam 8 pagi dan ditutup tepat jam 2 petang,” katanya lagi.