Polis Jerman sita 4 kereta mewah berkait 1MDB, harga sebuah kenderaan lebih RM14 juta

Oleh MAISARAH AISYA

Semakin banyak kes dan perkara berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) timbul semula.

Terbaru, polis Jerman menyita empat kereta mewah model Bugatti Veyron di Munich, Jerman yang dikaitkan dengan siasatan kes 1MDB.

Menurut media Jerman itu, Bild melaporkan kesemua kenderaan edisi khas itu dirampas dari sebuah kemudahan penyimpanan persendirian di Munich.

Empat kenderaan itu dikatakan tergolong dalam siri “Legends”, yang mana hanya 18 buah dibina dalam enam spesifikasi.

Empat kenderaan itu ialah Rembrandt edisi Veyron, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini dengan setiap kereta berharga lebih AS$3 juta (kira-kira RM14.3 juta).

“Kereta itu jarang dijual, dan biasanya tidak dijual di lelongan awam.

“Kereta berkenaan dikesan dan dirampas oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah 7, yang pakar dalam jenayah kolar putih,” menurut Bild.

Skandal 1MDB mengejutkan dunia apabila ia mengaitkan bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak.

Bukan hanya itu, malah terdapat juga ahli politik dan bank serta bintang Hollywood yang membawa kepada siasatan jenayah di beberapa negara.

Polis Munich bagaimanapun tidak mahu berkongsi sebarang butiran khusus mengenai kes yang sedang berjalan dengan Bild,.

Menurut media di sana, yang memetik kebanyakan laporannya adalah daripada sumber badan kehakiman Jerman.

Baca juga: Kecoh orang Sabah pernah jejak ke bulan, sekali bila diselidik rupanya gambar jalan berlubang di India