Malaysia Dateline

Polis Kelantan berkas lelaki terbabit kes samun guna pistol tiruan

Polis Kelantan berjaya menyelesaikan lapan kes samun menggunakan pistol tiruan dalam tempoh tiga minggu lalu di sekitar daerah ini dengan kerugian dianggar RM150,000 selepas menangkap seorang penjual buah, tiga hari lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata lelaki berusia 23 tahun tersebut diberkas pada 11 pagi Isnin di rumahnya di Kampung Peroi, Peringat dekat sini.

“Hasil soal siasat suspek mengaku melakukan jenayah tersebut baru tiga minggu dengan lapan kes samun telah dilakukan olehnya.

“Kami mendapati suspek tersebut melakukan jenayah itu sebagai pekerjaan sampingan bagi menambah pendapatan sebagai penjual buah di sebuah pasar borong dekat sini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis SerahTerima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Bharu melibatkan ACP Ismail Sidek dan ACP Rahim Daud, di sini, hari ini.

Katanya polis juga menemui sepucuk pistol tiruan, barang kes serta wang tunai yang disorokkan di bawah gerai milik suspek di pasar borong tersebut.

“Kita mendapati suspek melakukan kegiatan jenayahnya pada hari Jumaat sewaktu masyarakat menunaikan solat Jumaat dengan menyasarkan golongan wanita.

“Dia (suspek)  melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian dengan menaiki motosikal dan hasil pemeriksaan  suspek terbabit tidak mempunyai rekod lampau serta negatif dadah,” katanya.

Beliau berkata suspek direman selama seminggu bermula semalam sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA