Malaysia Dateline

Polis Kelantan sasar penurunan indeks jenayah 10 peratus

Polis Kelantan menyasarkan penurunan indeks jenayah sehingga 10 peratus pada tahun ini, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Beliau berkata sama ada ia berjaya dicapai atau tidak, perkara itu akan diketahui pada penghujung tahun ini.

Menurutnya sekiranya keadaan jenayah terkawal seperti sekarang tidak mustahil sasaran itu kemungkinan besar dapat dicapai.

“Bagi bulan pertama tahun ini kadar jenayah di Kelantan menurun sebanyak 49 kes atau 14.8 peratus.

“Dalam tempoh sama tahun lalu, 330 kes jenayah dicatatkan tetapi tahun ini berkurangan 49 kes kepada 281 kes,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Februari di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Hasanuddin berkata dalam tempoh sama indeks jenayah kekerasan dan harta benda turut mencatatkan penurunan.

“Pihak polis memohon kepada seluruh masyarakat supaya jangan berhenti memberi maklumat kepada pihak polis khususnya berkaitan jenayah dan dadah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk di negeri ini kerana banyak menyalurkan maklumat kepada pihak kami untuk melaksanakan tugas.

“Walau dalam keadaan macam mana sekalipun, tugas kami akan tetap laksanakan, khususnya dalam membanteras jenayah, tambahan pula kini Musim Perayaan Tahun Baru Cina dan dijangka hampir 1 juta kenderaan dari barat masuk ke pantai timur,” katanya.

— BERNAMA