Polis kepung rumah Jamal

Polis kepung rumah Jamal

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa rumahnya di Ampang dikepung pihak polis hari ini.

Beliau yang pada 23 Disember tahun lalu bertindak menyerbu sebuah pusat mesin permainan judi di Pekan Sekinchan dilapor berkata, lapan pegawai polis sedang menunggunya di luar pintu pagar.

“Rumah saya dikepung, saya sudah beritahu saya akan datang ke balai dalam pukul tiga tetapi mereka ini tidak sabar-sabar hendak tangkap saya.

“Ada dua buah kereta polis kini, nanti saya maklum semula,” ujar Pengerusi Gabungan NGO Malaysia itu dipetik dari Sinar Online yang dimuat naik pukul 1.21 petang tadi.

Pihak polis sebelum ini meminta Jamal yang juga pemilik Sekin Fisherman Village Hotel & Resort supaya datang ke balai polis untuk menyerah diri berhubung tindakannya menyerbu pusat judi terbabit.

Jamal turut menyerbu dua pusat perjudian haram di Ampang Jaya pada 29 Disember dengan tampil berjubah dan kopiah putih bersama 100 pemuda bermotor serta replika foto Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan exco kerajaan tempatan, Ean Yong Hian Wah.

Beliau mendakwa premis tersebut antara 400 pusat perjudian dan 600 rumah urut yang beroperasi di Ampang.

Bahkan serbuan Jamal di kedua-dua premis slot judi di lokasi itu mendapati premis itu bukan pusat hiburan keluarga mengikut lesen dikeluarkan Majlis Pembandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Jamal yang pada 21 Disember lalu bertuala datang ke Bangunan SUK Selangor mendakwa kerajaan negeri Selangor selalu bermain politik hinggakan pusat judi dibiarkan berleluasa di Pekan Sekinchan tetapi resort miliknya diroboh.

Walau bagaimanapun Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat dalam reaksinya pada 29 Disember berkata, Jamal harus mengikut saluran betul untuk membanteras gejala judi di mana-mana premis perjudian.

Jamal pernah mendakwa terdapat kira-kira 400 premis perjudian di sekitar daerah Ampang Jaya sahaja.

“Saya bimbang juga kerana aktiviti mesin judi mempunyai rangkaian dengan elemen kongsi gelap dan ini boleh membahayakan dirinya sendiri,” kata Abdul Samah sekaligus tidak menafikan kaitan perjudian dengan kumpulan kongsi gelap.

Terdahulu, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menghantar notis perintah menutup premis Jamal di Jalan Pantai Redang, Sekinchan berkuat kuasa 22 Disember tahun lalu tetapi merobohkan binaan bangunan itu pada hari sama.

Arahan MDSB menyebut Jamal sebagai pemilik premis menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa melesen mengikut UUK 3(1) Undang-undang Kecil Hotel MDSB 2013.

Bagaimanapun, Jamal dilapor berkata, permit dipohon sejak lima tahun lalu dengan semua syarat dan bayaran dibuat tetapi tidak diluluskan MDSB walaupun pelbagai dokumen lengkap disediakan.

TAGS