Malaysia Dateline

Polis Korea Selatan akui terima laporan akan ada himpunan Halloween, tapi tidak gerakkan kawalan mencukupi

Ketua Polis Korea Selatan mengakui pihak berkuasa negara itu menerima laporan tentang jangkaan lautan pengunjung yang akan berhimpun di Seoul sempena sambutan Halloween.

Bagaimanapun, langkah pengendalian tidak mencukupi untuk mengawal orang ramai di kawasan berlaku rempuhan maut pada Sabtu lalu.

Menurut Yoon Hee-keun, beliau tahu “orang ramai telah berkumpul sebelum kemalangan itu berlaku, lantas menunjukkan bahaya.” Namun, beliau akui cara maklumat itu dikendalikan “tidak mencukupi”, lapor Berita Mediacorp.

Dilaporkan, pihak berkuasa daerah Itaewon juga tidak mengerahkan rondaan keselamatan, dengan pegawai memberitahu bahawa acara Halloween dianggap sebagai ‘fenomena’ dan bukannya ‘perayaan’.

Justeru, ia tidak memerlukan pelan rasmi untuk mengawal orang ramai.

Dianggarkan 100,000 orang berpusu-pusu ke kawasan itu, dan sekurang-kurangnya 156 terbunuh manakala ramai yang lain cedera ketika menghadiri pesta Halloween di Itaewon, Seoul.

Sementara itu, AFP melaporkan, Menteri Dalam Negeri Seoul hari ini menjadi pegawai tertinggi pertama membuat permohonan maaf kepada orang ramai atas bencana itu, antara yang terburuk dalam sejarah negara itu.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan permohonan maaf kepada orang ramai sebagai menteri yang menjaga keselamatan rakyat atas kemalangan ini,” katanya sebelum tunduk di hadapan ahli Parlimen dan kamera.

Beliau berjanji untuk menyiasat punca rempuhan bagi memastikan bencana dalam skala itu tidak berlaku lagi.

Korea Selatan kebiasaannya mempunyai kawalan ketat ke atas orang ramai, dengan perhimpunan protes sering dikawal ketat sehinggakan pegawai boleh melebihi jumlah peserta.

Namun, polis hanya mengerahkan 137 pegawai ke Itaewon untuk Halloween, manakala 6,500 pegawai hadir pada protes di seluruh bandar yang dihadiri kira-kira 25,000 orang, menurut laporan tempatan.

Pada malam kejadian, puluhan ribu orang berpusu-pusu di lorong yang sempit, dengan saksi mata menggambarkan bagaimana, tanpa polis atau kawalan orang ramai pengunjung parti yang keliru saling menolak, merempuh mereka yang terperangkap di lorong itu.

Baca juga: “Apa gayanya ni….”- Sampai sudah tak masuk parkir, gelagat cikgu memandu membebel buat ramai terhibur

Baca juga: Anwar calon PM terbaik, paling layak tangani kemerosotan ekonomi