Polis larang hasrat Jamal bakar papan tanda ‘Bebas Anwar’

Polis larang hasrat Jamal bakar papan tanda ‘Bebas Anwar’

Hasrat Presiden Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Malaysia Datuk Jamal Md Yunus membakar papan tanda ‘Bebaskan Anwar’ di sini tidak tercapai apabila dihalang anggota polis.

Berikutan itu, Jamal berkata, pihaknya akan membuat laporan polis berhubung pemasangan papan iklan berkenaan yang didakwanya jelas menghasut rakyat untuk tidak mempercayai sistem kehakiman negara.

“Dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bukan tahanan politik, dia dijatuhkan hukuman kerana meliwat pembantunya,” katanya kepada pemberita di Simpang Tiga, Jalan Loji, Sungai Besar hari ini.

Anwar yang juga bekas Ketua Pembangkang kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat pembantu peribadinya pada 2008.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata, papan iklan berkenaan juga tidak mempunyai sebarang nombor kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau juga memberikan masa seminggu kepada pihak PBT dan kerajaan negeri Selangor untuk menurunkan papan tanda ‘Bebaskan Anwar’ dengan menyatakan hasrat nya akan membakar jika tiada tindakan dilakukan untuk menurunkan papan tanda berkenaan di Selangor.

TAGS