Polis larang penggunaan ‘drone’ semasa proses penamaan calon PRK Kuala Kangsar

Polis larang penggunaan ‘drone’ semasa proses penamaan calon PRK Kuala Kangsar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Polis melarang penggunaan ‘drone’ atau pesawat tanpa pemandu (UAV) di kawasan Dewan Jubli Perak di sini, tempat berlangsungnya proses penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar esok.

Jurucakap polis bagi PRK Kuala Kangsar ACP Shaharon Anuar Abdul Latiff berkata sekiranya dikesan, pihaknya akan bertindak menjatuhkan ‘drone’ itu dan mencari individu yang menggunakannya.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak turut meminta semua penyokong parti yang bertanding supaya tidak melakukan provokasi seperti mengejek atau membaling objek sepanjang proses penamaan calon itu.

“Bagi melancarkan proses penamaan calon, polis akan menetapkan kawasan tertentu untuk penyokong parti berkumpul,” katanya kepada pemberita di sini, hari Sabtu.

Menurutnya seramai 1,381 pegawai dan anggota polis ditugaskan di sekitar kawasan itu esok.

Sepanjang tempoh kempen PRK pula, seramai 2,940 pegawai dan anggota akan bertugas bagi memastikan keselamatan dan keamanan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, persiapan pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak berjalan lancar.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak Ahmad Adli Abdullah berkata pihaknya kini di fasa terakhir persiapan yang membabitkan penyediaan kawasan untuk jurugambar ketika proses penamaan calon.

Beliau berkata dewan penamaan calon dibuka pada 9 pagi dan hanya tiga orang dari setiap parti iaitu calon, penyokong dan pencadang dibenarkan memasukinya.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pengundian PRK Kuala Kangsar ditetapkan pada 18 Jun.

TAGS