Polis Marin selesai 17,700 kes, untuk lima tahun, rampas lebih RM477 juta

Polis Marin selesai 17,700 kes, untuk lima tahun, rampas lebih RM477 juta

Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menyelesaikan 17,700 kes melibatkan nilai rampasan lebih RM477 juta bagi tempoh lima tahun sejak 2014 sehingga Oktober 2018.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata keberhasilan itu terjadi meskipun PPM dalam keadaan memerlukan penambahan keanggotaan serta aset keselamatan.

“Kami percaya sekiranya PPM diperkasakan, diperkukuhkan maka, gerak kerja akan lebih berkesan, mantap bagi memastikan perairan dan kawasan termasuk di Sabah terkawal dan sebarang elemen jenayah dapat ditangani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini hari ini, sempena lawatan kerja rasmi dua harinya ke Sabah sejak semalam.

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata penambahan kelengkapan aset seperti bot termasuk kelengkapan alat pengesan antara aspek keselamatan yang perlu diperkasakan dalam PPM bagi memantapkan keberkesanan anggota membanteras aktiviti jenayah.

“Ancaman sekarang ini, jika dilihat mereka (penjenayah) juga menggunakan aset (senjata) dan sebab itu kita (PPM) juga perlu dua atau tiga langkah lebih ke hadapan daripada mereka (penjenayah) supaya cubaan jenayah ini dapat dipatahkan,” katanya.

Sementara itu, Komander PPM Bukit Aman SAC Mohd Yussof Mamat berkata PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan keberhasilan tangkapan tertinggi di seluruh negara bagi tempoh tahun 2014 hingga Oktober 2018 yang melibatkan 6,591 kes dengan nilai rampasan RM84,919,709.

“Bagi tempoh 10 bulan tahun ini sahaja, sebanyak 1,216 kes tangkapan direkodkan di Sabah dengan nilai rampasan RM16,177,419,” katanya.

Menurutnya, tangkapan kes tertinggi melibatkan Akta Perhutanan, Akta Perikanan dan Akta Imigresen dengan masing-masing 596 kes, 202 kes serta 149 kes.

Terdahulu, Mohd Yussof menyaksikan majlis serah terima tugas Komander PPM Wilayah 4 Sabah baharu ACP Mohd Pajeri Ali yang menggantikan Supt Abd Nasir Othman.

— BERNAMA