Malaysia Dateline

Polis masih berusaha kesan Sajat

Pihak polis masih mengkehendaki usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman bagi membantu siasatan kes penipuan menukar maklumat pada kad pengenalan.

Dia yang lebih dikenali sebagai Nur Sajat merupakan saksi yang dikehendaki hadir prosiding perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Ampang Jaya pada 22 Februari ini.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam kenyataan di Facebook hari ini, memaklumkan alamat terakhir Sajjad di Jalan Polo Country Club Selangor, 10/3 Kota Damansara, Seksyen 10, Petaling Jaya, Selangor.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersial masih dalam usaha mengesan saksi bagi perbicaraan di Mahkamah Ampang,” kata kenyataan itu.

Siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sajat atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mastura Abdul Basher di talian 018-2053955.

Sebelum ini, Sajat mengesahkan dirinya sudah berhijrah ke Australia dengan bantuan kerajaan negara itu ketika sesi langsung di media sosial miliknya.