Malaysia Dateline

Polis masih buru Jho Low

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberitahu pihaknya tetap komited dan terus memburu ahli perniagaan paling dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low.

Malah, usaha mengesan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho masih dilakukan untuk membawanya ke muka pengadilan di negara ini berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata pihaknya giat memburu individu yang dikaitkan dengan skandal kewangan berjumlah berbilion dolar itu tahun lalu, tetapi gagal mencapai sasaran ditetapkan.

“Memang tahun lalu saya pernah menyatakan untuk berusaha sepenuhnya menahan dan membawa balik Jho Low kembali ke negara ini sebelum akhir tahun.

“Saya akui saya gagal tetapi itu tidak bermaksud usaha memburu dan membawanya pulang terhenti,” dipetik dari BH Online hari ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya mengetahui lokasi persembunyian Jho Low tetapi halangan daripada pihak tertentu menyukarkan usaha membawanya kembali ke negara ini.

Katanya, laporan sebuah agensi media asing baru-baru ini yang mendakwa Jho Low berada di Kuwait sebenarnya adalah lokasi pada 2016.

“Jika benar-benar berani, Jho Low harus tampilkan diri dan keluar daripada persembunyian,” katanya.

Beliau menegaskan, PDRM turut komited mengesan bekas pengarah dan Ketua Pengarah Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil dan beberapa individu yang dipercayai bersekongkol mencuri aset milik negara.

Katanya, PDRM tidak akan berhenti selagi mereka yang merompak harta negara tidak berada di belakang jeriji besi.

Abdul Hamid berkata, polis bekerja secara senyap untuk mendapatkan kembali wang yang dicuri dan seterusnya menahan Jho Low.

Dalam masa sama, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dirinya ‘boleh dibeli’ supaya berdiam daripada memburu Jho Low.

“Misi utama tugas saya adalah menjaga negara dan rakyat, maka tindakan membawa Jho Low ke muka pengadilan akan terus dilakukan,” katanya lagi.

Sejak 2015, Jho Low, Nik Faisal, Eric Tan Kim Loong, Casey Tang, Jasmine Loo Ai Swan dan Geh Choh Heng adalah antara individu dikehendaki oleh pihak berkuasa negara ini berhubung siasatan berkaitan SRC International dan 1MDB.

Dalam satu rencana soal jawab di akhbar harian Singapura, The Straits Times yang diterbitkan pada 6 Januari lalu, Jho Low mendakwa dirinya hanya kambing hitam dalam skandal 1MDB.

Dia menggambarkan dirinya sebagai orang tengah yang diminta ‘membantu’ kerajaan Malaysia dan pihak di Asia Barat susulan hubungan baik dimiliki dengan ahli perniagaan asing terkenal dan beberapa pembuat dasar.