Polis masih gagal kesan di mana Jho Low setelah guna khidmat Interpol

Polis masih gagal kesan di mana Jho Low setelah guna khidmat Interpol

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan, pihaknya telah kemukakan permintaan kepada Interpol bagi mengesan di mana ahli perniagaan Jho Low berada berhubung skandal kewangan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun katanya setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum memperoleh maklumat terperinci daripada Interpol.

Justeru tuntutan untuk mengesan Jho Low yang didakwa terbabit atas beberapa kesalahan jenayah berhubung skandal kewangan dilihat tidak lagi relevan di bangkitkan di Parlimen.

“Namun kita yakin apa yang telah dilakukan beberapa pihak di peringkat antarabangsa terutama agensi risikan telah dimuktamadkan dan yakin kes itu telah tidak lagi relevan kecuali dibangkitkan oleh ahli politik yang tidak pernah berpuas hati mengenainya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang mahukan PDRM mendapatkan khidmat Interpol untuk mengenal pasti kedudukan Jho Low berikutan banyak laporan antarabangsa yang mengaitkannya dengan jenayah perdagangan dan kewangan.

Ogos lalu, Mohamed Azmin memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Ketua Polis Negara, bagi menuntut ahli perniagaan Jho Low ditangkap dan didakwa atas beberapa kesalahan jenayah berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Azmin selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam melalui peguamnya N Surendran manakala Ketua Polis Negara sebagai responden.

Berdasarkan permohonan tersebut, Azmin yang juga Menteri Besar Selangor itu menuntut satu perintah mandamus (memaksa) yang mengarahkan responden menangkap dan mengemukakan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho di hadapan majistret Malaysia untuk menghadapi tuduhan jenayah di bawah Seksyen 409 dan 420 atau sebarang kesalahan lain.