Polis Mesir bunuh 16 militan dalam serbuan di Sinai

Polis Mesir bunuh 16 militan dalam serbuan di Sinai

Pasukan keselamatan Mesir membunuh 16 anggota militan dalam serbuan di Semenanjung Sinai, Mesir, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri pada Selasa.

Menurut kenyataan itu pasukan keselamatan menyerbu dua lokasi persembunyian militan di bandar Arish ketika kumpulan penganas dikatakan sedang merancang untuk menyerang beberapa fasiliti di Mesir.

Serbuan dilakukan sehari selepas dua orang pegawai polis maut manakala dua lagi cedera apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya di belakang Masjid Al-Azhar.

Sebelum ini pada Sabtu, pihak tentera mengatakan 15 tentera terbunuh dan ada yang cedera dalam serangan militan di Sinai.

Keganasan memuncak di tengah-tengah parlimen Mesir membahaskan pindaan perlembagaan untuk melanjutkan tempoh pentadbiran presiden dari empat hingga enam tahun.- Bernama.