Malaysia Dateline

Polis minta usah sertai perhimpunan

Orang ramai diminta tidak menyertai atau menganjurkan sebarang perhimpunan memandangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat masih dikuatkuasakan di seluruh negara termasuk di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata pihaknya ada menerima maklumat berhubung satu perhimpunan bakal diadakan di ibu negara, dalam masa terdekat.

“Ada pihak tertentu sentiasa mengambil peluang mengadakan perhimpunan atau perarakan, yang mana jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) PPN Fasa Empat.

“Selain itu, polis juga tidak menerima sebarang permohonan mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka mengikut peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tular poster menuntut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap dan SPRM dirombak dengan terpampang tarikh 22 Januari 2022 iaitu pada Sabtu ini dan ‘Kuala Lumpur’.