Polis nafi keluar amaran serangan Daeash di ibu negara

Polis nafi keluar amaran serangan Daeash di ibu negara

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan bahawa ia mengeluarkan amaran kepada orang awam supaya mengelakkan beberapa lokasi tumpuan orang ramai di ibu negara yang dikatakan menjadi sasaran serangan bom kumpulan militan Daesh.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitter rasmi beliau hari ini.

“This alert is not from @PDRMsia (Amaran ini bukan daripada @PDRMsia),” kata Khalid dalam Twitternya.

Beliau turut memuat naik ‘screenshot’ amaran berkenaan yang dikesan mula tersebar luas dan menjadi viral di media sosial hari ini.

Mesej dalam bahasa Inggeris itu meminta rakyat Malaysia menjauhi beberapa lokasi iaitu Publika, Bangsar, The Curve, Mid Valley, KLCC, Menara Kuala Lumpur, Hartamas, Bukit Bintang dan stesen-stesen LRT.

Dalam mesej itu juga tertera ayat “The Malaysian Goverment confirms with either one or any of these places will be attacked by ISIL (Daesh). Please share and you might save lives.

(Dalam mesej itu juga tertera ayat “Kerajaan Malaysia mengesahkan sama ada satu atau mana-mana daripada tempat ini akan diserang oleh ISIL (Daesh). Sila share dan anda mungkin menyelamatkan nyawa).

“Guys please stay away from KLCC – Pavilion – beach club area – Jalan Alor and Petaling Street. We are the next target for bombing according to special branch,” kata mesej itu.

(Kawan-kawan sila jauhi KLCC – Pavilion – kawasan Beach Club – Jalan Alor dan Jalan Petaling. Kita adalah sasaran berikutnya pengeboman menurut cawangan khas,” kata mesej itu).

COMMENTS

Wordpress (0)