Polis nafi rampasan 433 utas jam tangan bernilai RM80 juta

Polis nafi rampasan 433 utas jam tangan bernilai RM80 juta

Polis Diraja Malaysia menafikan ada mengeluarkan kenyataan berhubung rampasan beberapa jam tangan bernilai RM80 juta seperti yang dilaporkan sebuah akhbar bahasa Cina.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, beliau juga tidak mengesahkan sebarang nilai rampasan yang dibuat pihaknya dalam siri operasi mencari di sebuah kondominium mewah yang terletak di ibu negara, baru-baru ini.

“Saya tidak mahu komen dan untuk pengetahuan, saya tidak mengeluarkan kenyataan mahupun pengesahan seperti yang dilaporkan akhbar itu,” lapor Astro Awani hari ini.

Terdahulu, Akhbar China Press melaporkan sebanyak 433 utas jam tangan berjenama ditemui dalam 37 beg yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dianggarkan mencecah RM80 juta.

Jam tangan yang dirampas dari kondominium mewah, Pavilion Residences termasuklah jam tangan paling mahal berjenama Rolex berharga RM3.5 juta

China Press melaporkan seutas lagi jam tangan jenama Cecil Purnell berharga RM1.2 juta, manakala jenama lain terdiri daripada Patek Philippe dan Richard Mille.

Menurut akhbar itu, proses pengiraan dan penilaian ke atas 37 beg berisi jongkong emas, barang kemas dan jam tangan itu yang bermula 30 Mei lalu, kini di peringkat akhir dan masih ada sebahagian barang kemas jarang ditemui yang belum dinilai pakar.

“Pakar mengambil masa lima hari, mulai 30 Mei untuk menyelesaikan kerja menilai semua jam tangan berjenama yang diisi dalam enam beg itu,” lapor akhbar itu.

Difahamkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh sudah mengarahkan proses penilaian semua jongkong emas, barang kemas dan jam tangan itu diselesaikan sebelum sambutan Aidilfitri atau anggota terbabit tidak dapat bercuti raya.

Pada 25 Mei lalu, Amar Singh mengumumkan pelbagai mata wang berjumlah RM114 juta ditemui dalam 35 beg yang dirampas dari Pavilion Residences, manakala baki 27 beg mengandungi barang kemas serta barang berharga lain yang perlu dinilai pakar.

Polis sebelum ini merampas 72 beg dan 284 kotak mengandungi beg tangan mewah dalam operasi penggeledahan 6 premis dikaitkan dengan Najib sejak malam 16 Mei lalu, sebagai sebahagian daripada siasatan dalam skandal 1MDB.

Enam premis itu adalah kediaman peribadi Najib di Taman Duta, 3 kondominium mewah di Jalan Raja Chulan, pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri dan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya yang digunakan Najib sejak 2009.

 

CATEGORIES
TAGS