Malaysia Dateline

Polis P.Pinang tumpas sindiket pemerdagangan manusia warga Myanmar

Polis menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia yang melibatkan warganegara Myanmar menerusi ‘Op Pintas’, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, polis berjaya menahan tiga warganegara Myanmar iaitu dua daripadanya lelaki dan seorang wanita yang berperanan sebagai tekong darat atau penjaga rumah simpanan migran warganegara Myanmar di sebuah rumah, di Mak Mandin, dekat  sini.

“Bertindak di atas maklumat Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), polis telah membuat serbuan di sebuah rumah beralamat No 20, Lorong Teratai, Taman Teratai, Mak Mandin kira-kira jam 11.00 pagi tadi,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, hasil siasatan ke atas tangkapan tersebut mendapati, seorang daripada lelaki itu berumur 35 tahun dan seorang lelaki berusia 45 tahun, manakala wanita terbabit berumur 41 tahun.

Noorzainy berkata, susulan tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek berkenaan telah berjaya menemukan 19 orang lagi migran yang disyaki warganegara Myanmar.

“Kesemua mereka disembunyikan di bahagian bilik di atas rumah tersebut dalam keadaan bergelimpangan,  tidak terurus dan tidak bermaya.

Mereka yang berjaya ditemukan itu berumur dalam lingkungan 19 tahun hingga 50 tahun,” katanya.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah beg pinggang warna hitam, serangkai pelbagai anak kunci, tiga buah telefon bimbit, beberapa kad ATM, buku nota dan wang tunai berjumlah RM1,818.00.

“Suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 26 (A) ATIPSOM  manakala 19 orang migran akan disiasat di bawah Akta Imigresen kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

–BERNAMA