Polis Pahang nafi kes kanak-kanak mati diberi susu dan ubat batuk

Polis Pahang nafi kes kanak-kanak mati diberi susu dan ubat batuk

Polis Pahang hari ini menafikan klip video berserta rakaman suara yang tular mengenai penangkapan seorang wanita di daerah Bera, yang kononnya telah menyebabkan kematian empat orang anaknya setelah memberi mereka minum susu bercampur ubat batuk.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nanyan berkata sebaliknya video yang tular di media sosial itu adalah berkaitan kes tangkapan seorang wanita di Mengkuang, Bera membabitkan kes curi yang disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Tangkapan seorang wanita yang disabitkan dengan kes curi itu telah dibuat pada 2.10 petang pada 9 Nov lalu yang telah pun didakwa dan dijatuhkan hukum di Mahkamah Majistret Temerloh pada 13 Nov lalu.

“Dakwaan yang mengaitkan wanita berkenaan terlibat dengan kematian empat orang anaknya adalah tidak benar dan tidak wujud insiden berkenaan di daerah Bera,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai dan menyebarkan berita yang belum dipastikan benar kerana ia boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

— BERNAMA