Malaysia Dateline

Polis panggil 7 individu beri keterangan tidak hormat lagu Negaraku

 

Tujuh individu dipanggil bagi memberi keterangan hari ini ekoran tindakan  mereka yang didakwa tidak berdiri sebagai tanda hormat ketika Lagu Kebangsaan dimainkan pada satu majlis, di Kuching.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata setakat ini, satu laporan sudah diterima mengenai kes berkenaan. Katanya, berdasarkan laporan tersebut, polis sudah memulakan siasatan mengikut Seksyen 8 (3) Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Mereka dipanggil memberi keterangan susulan didakwa enggan berdiri bagi menghormati Lagu Kebangsaan.

“Tindakan itu didakwa dilakukan pada satu majlis di sebuah hotel di bandar raya ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut akta berkenaan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM100 atau penjara tidak lebih sebulan kerana menunjukkan sikap tidak hormat terhadap Lagu Kebangsaan.

Pada Jumaat lalu, tular video sekumpulan individu dipercayai ahli atau penyokong Sarawak for Sarawakians (S4S), sekadar duduk ketika Lagu Kebangsaan berkumandang pada satu majlis di sini.

Tindakan itu adalah sebagai menunjukkan bantahan berkaitan kemelut isu pemberian royalti minyak 20 peratus kepada negeri ini.