Malaysia Dateline

Polis panggil siasat Dong Zong, Yew Yin, Zakir

Pihak polis akan memanggil Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong); ahli perniagaan, Koon Yew Yin dan penceramah kontroversi, Dr. Zakir Naik untuk disoal siasat.

Tindakan itu tegas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran beberapa laporan polis terhadap ketiga-tiga pihak terbabit.

Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu itu berkata, beberapa individu lain telah pun dipanggil untuk disoal siasat dan ada yang sedang dalam pemerhatian PDRM.

“Tindakan selanjutnya akan diambil termasuk mendakwa mereka yang terlibat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan jika terdapat bukti yang mencukupi,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin menegaskan bahawa PDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa memantau kenyataan yang dibuat dan didapati mampu mengeruhkan keadaan terutama dalam media sosial.

“Justeru, pengguna laman sosial diingatkan agar sentiasa menggunakan media sosial secara berhemah,” ujar beliau.

Bukan sekadar itu, Muhyiddin turut mengingatkan semua pihak termasuk bukan warganegara Malaysia bahawa agensi penguatkuasaan di bawah kementerian beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang cuba mengganggu gugat keharmonian serta ketenteraman awam.

Beliau meminta semua pihak berhenti mengeluarkan kenyataan berbentuk andaian, sebaliknya menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa sebelum membuat ulasan tentang sesuatu kejadian bagi mengelakkan sebarang kenyataan berbentuk fitnah atau tuduhan melulu.

Sementara itu, Muhyiddin menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kenyataan atau komen berunsur fitnah, perkauman atau hasutan supaya melaporkannya kepada pihak berkuasa dengan menghantar rakaman skrin kepada akaun media sosial rasmi PDRM melalui:

Facebook: facebook.com/PolisDirajaMalaysia

Instagram: instagram.com/pdrm_official

Twitter: twitter.com/PDRMsia

Youtube: youtube.com/user/PDRMsia

“Malaysia adalah negara majmuk pelbagai kaum dan agama. Setiap rakyat seharusnya menghormati kepelbagaian dan meraikan perbezaan yang ada di negara ini,” tambah Muhyiddin lagi.