Polis patut teruskan siasatan dan dakwa Khairul Azwan, desak Mahfuz

Polis patut teruskan siasatan dan dakwa Khairul Azwan, desak Mahfuz

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar harus menjelaskan kepada rakyat kewajaran laporan polis dibuat Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun terhadap tiga Tan Sri itu dihentikan tanpa alasan yang tidak munasabah untuk diterima oleh kebanyakan rakyat.

Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar dalam kenyataannya hari ini mendesak siasatan diteruskan dan mendakwa Khairul Azwan  walaupun Khalid mengatakan laporan dibuat itu hanya andaian semata-mata.

Datuk Mahfuz Omar Mahfuz mendakwa,laporan polis yang dibuat Khairul itu adalah laporan palsu yang berniat jahat yang telah membina persepsi kebencian dan permusuhan rakyat terhadap penjawat dan bekas penjawat awam dengan tuduhan yang sangat berat walaupun ia hanya andaian.

“Persoalannya, kenapa dihentikan siasatan kes tanpa tindakan terhadap Khairul.

“Dalam sidang media dia kata ketiga-tiga Tan Sri tersebut didakwa memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar negara, termasuk FBI.

“Dia kata sebahagian besar maklumat dan dokumen yang dikemukakan adalah palsu, diputar-belit dan direka untuk mencapai agenda jahat mereka.

“Bila ditanya berkenaan dokumen yang dibekalkan oleh ketiga-tiga individu berkenaan,dia kata, hanya akan berkongsi maklumat tersebut dengan menteri yang bertanggungjawab dan terpulang kepada pihak polis menentukan bila beliau boleh berbuat demikian.

“Maknanya ketika membuat laporan polis itu, dia mengakui ada bukti dan dokumen-dokumen tertentu dalam tangannya,” ujar Mahfuz.

Justeru Mahfuz persoalan timbul apabila selepas dipanggil polis, semua dakwaan disahkan pihak polis hanya berdasarkan andaian-andaian sahaja.

“Adakah KPN terpaksa menutup kes ini kerana bimbang jika disiasat akan membongkarkan kertas siasatan dan pendakwaan sebenar yang disiasat oleh tiga Tan Sri ini bersama pasukan jabatan mereka?.

“Apa pun budak Khairul suruhan Umno ini, tidak boleh dilepaskan oleh polis.

“Dia sepatutnya disiasat dan didakwa dibawah seksyen 182 kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 6 bulan atau denda RM2,000 atau kedua duanya sekali.

“Jangan Polis hanya mengambil tindakan kepada orang awam biasa atas kesalahan laporan palsu tetapi takut untuk bertindak terhadap budak Khairul suruhan Umno.

“Laporan palsu yang jahat dengan restu Umno telah mengaib, mencalar dan menjatuhkan maruah nama baik tiga Tan Seri dan penjawat awam.

“Budak Khairul yang kurang ajar dan biadab ini mesti disiasat dan didakwa,” desak Mahfuz.

Pada 26 Julai lalu, Nab Ketua Umno Khairul Azwan Harun menamakan tiga individu dalam laporan polis yang dibuatnya, mengaitkan Tan Sri Abdul Ghani Patail (bekas Peguam Negara); Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (bekas Gabenor Bank Negara) dan Tan sri Abu Kassim Mohamed (Ketua Pengarah SPRM) terbabit dalam satu konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan kerajaan Malaysia yang sah.

Khairul Azwan berkata, ketiga-tiga mereka disyaki memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar negara, termasuk kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu bahawa polis telah menutup kes itu dan tidak akan meneruskan siasatan dakwaan tersebut kerana mendapati laporan berkenaan dibuat berasaskan andaian.