Selepas lima bulan kejadian berlaku, pengawal pengiring kenamaan yang sebelum ini dirakam kamera papan pemuka (dashcam) ketika menyerang pemandu e-hailing akhirnya dibawa ke muka pengadilan.
Pengawal terbabit yang juga anggota polis itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ong Ing Keong, 47, di hadapan lobi sebuah hotel di Brickfields, Kuala Lumpur pada 11.40 pagi, 28 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, lapor Berita Harian.
Tertuduh berusia 32 tahun dikenali sebagai Muhammad Taufik Ismail itu kemudian membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya.
“Saya mengaku,” kata pengawal pengiring terbabit ketika membuat pengakuan bersalah kerana mendatangkan kecederaan kepada pemandu e-hailing yang juga orang kelainan upaya (OKU) itu memetik laporan Berita Harian.
Susulan pengakuan itu dibuat, Majistret Farah Nabihah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 dan mengarahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara 20 hari sekiranya gagal membuat bayaran.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Razali Che Ani memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam kerana kes itu tular di media sosial dan mendapat liputan meluas oleh pihak media.
Kes ini juga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai yang mana ia membabitkan seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sepatutnya membantu pemandu OKU bukannya mendatangkan kecederaan kepada mangsa.
Peguam yang mewakili tertuduh, A Ashok bagaimanapun memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya bertugas sebagai anggota polis berpangkat Lans Koperal dan sudah berkhidmat selama sembilan tahun dengan rekod bersih.
Malah tertuduh yang juga anak sulung kini menanggung dan menjaga bapanya yang sakit akibat strok dan tidak boleh berjalan manakala ibunya juga mengalami masalah kesihatan darah tinggi.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga pemandu e-hailing itu memandu keretanya ke hadapan lobi sebuah hotek ketika kejadian untuk mengambil penumpang dan menunggu individu terbabit lebih kurang lima minit.
Ketika penumpang terbabit masuk ke dalam kenderaan, pengadu melihat ada beberapa orang termasuk tertuduh yang bertindak seperti pengawal peribadi orang kenamaan berada di situ dan menunjukkan isyarat tangan kepadanya untuk beredar.
Namun pengadu tidak faham kerana dia merupakan OKU pekak dan bisu sebelum membuka cermin kenderaannya dan mengangkat tangan kepada tertuduh bagi bertanya berkenaan apa yang terjadi dalam bahasa isyarat.
Tiba-tiba, tertuduh bertindak menumbuk pengadu di bahagian mukanya dan menyebabkan pengadu berasa sakit di bahagian pipi sebelah kanan di mana perbuatan tersebut turut dirakam kamera dashcam.
Pengadu kemudian meninggalkan lokasi kejadian dan menghantar penumpangnya ke Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di Segambut di sini, serta membuat laporan polis.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh berada di tempat kejadian kerana bertugas sebagai pengawal pengiring kepada orang kenamaan dan laporan perubatan mengesahkan bahawa terdapat bengkak di bahagian muka sebelah kanan pengadu.
Baca juga: Pengemis warga asing berleluasa? Sebulan boleh dapat RM12k, raih simpati dengan alasan keagamaan